Sunday, October 5, 2008

Berjaga-jaga sayur dicemari melamin

Malaysiakini
Oct 4, 08 7:40pm
Krisis makanan tercemar dengan bahan berbahaya dari China terus berlanjutan - sayur-sayuran import dari republik itu turut tercemar dengan kandungan melamin yang tinggi.

Kementerian Kesihatan kini mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjalankan pemeriksaan tahap empat terhadap semua produk makanan dari China bagi memastikan ia benar-benar selamat, lapor Bernama.

"Kami mendapat tahu dari Korea (Selatan) bahawa mereka mengesan kadar melamin yang tinggi dalam sayur-sayuran yang mereka import dari China.

"Kami telah melancarkan pemeriksaan tahap empat terhadap semua produk makanan dari China dengan mengambil contoh produk berkenaan untuk ujian," kata Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri konvensyen MCA Sabah di sini Sabtu, Liow memberi jaminan bahawa kadar melamin dalam produk makanan yang dijual di pasaran negara ini adalah pada paras yang dibenarkan.

Agensi berita yang sama turut melaporkan pihak berkuasa keselamatan makanan Korea Selatan menemui bahan berasaskan nitrogen itu dalam coklat berjenama Kit Kat dan Snickers yang dihasilkan dari China.

Jika diambil berlebihan atau dengan kerap, melamin boleh mendatangkan risiko kesihatan.

Pencemaran melamin dalam produk tenusu telah mengorbankan empat bayi di China dan menyebabkan 54,000 lagi mengalami masalah buah pinggang dan penyakit-penyakit lain.

Agensi kawalan ubatan dan makanan Korea (KFDA) kini sedang memeriksa 428 makanan proses untuk mengesan bahan berbahaya itu.

Setakat hujung minggu lepas, ia telah memeriksa 288 produk.

1 comment: