Tuesday, October 27, 2009

'Syed' Ali perlu faham sejarah Islam-Nik Aziz

Syed Ali perlu faham sejarah Islam-Nik Aziz
Hazayani Zakaria
Tue Oct 27, 09 12:26:52 pm MYT
KUALA LUMPUR, 27 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas kata-kata Ketua Umno Bahagian Cheras,Datuk Wira Syed Ali Alhabshee bahawa beliau adalah ulama' akhir zaman yang menentang penyatuan umat Islam. Iklan


Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Syed Ali terlebih dahulu harus menyedari siapa sebenarnya yang bertanggungjawab di atas perpecahan umat Islam yang berlaku di dunia ini, sebelum menuduhnya demikian.

"Saya nak beri salam pada dia (Syed Ali) balik, biar dia faham perpecahan yang berlaku atas dunia ini berpunca daripada Nabi Muhammad atau berpunca daripada puak-puak Syed lawan Nabi Muhammad?"

"Semua bapa saudara nabi adalah (keturunan) Syed. Syed ini kepala yang lawan Nabi Muhammad,"katanya ketika ditemui pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam.


Ujar Nik Aziz, beliau hanya menjalankan amanah sebagai umat Nabi Muhammad di muka bumi ini untuk menyampaikan ajaran Islam.

"Kalau dia cakap soal perpecahan jangan tuju kepada saya. Saya hanya tolong datuk nenek dia Nabi Muhammad. Dia yang melawan datuk nenek dia sendiri. Itu kena faham," tegasnya.

Syed Ali seperti yang dilaporkan akhbar Sinar Harian kelmarin juga mendakwa Nik Aziz menentang segala usaha untuk menyatu padukan umat Islam sebaliknya bersubahat dengan bukan Islam.

Beliau juga mendakwa Nik Aziz harus dipersalahkan kerana kononnya beliau tidak boleh ditegur dan enggan menerima perubahan dan pembaharuan.

Tuduhan Syed Ali itu dilihat sebagai mengambil kesempatan di atas isu cadangan Nik Aziz agar diadakan Muktamar Khas (EGM) untuk menyelesaikan masalah kepimpinan parti sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi banyak pihak khususnya Umno Barisan Nasional yang sentiasa mencari kesilapan PAS.

Malah Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yasin Isnin lalu membuat kenyataan bahawa rundingan Umno-PAS masih terbuka.

Sedangkan bagi PAS sendiri, isu itu sudah selesai dalam muktamar PAS Jun lalu.

Nik Aziz sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa PAS hanya boleh menerima Umno jika parti itu menukar dasar kebangsaan yang dibawanya kepada dasar Islam.

Namun, Umno enggan berbuat demikian sebaliknya terus mendakwa PAS tidak mahukan perpaduan di kalangan orang Melayu.

Harakahdaily
Read More ..