Saturday, September 27, 2008

Rumah ibu bapa dilontar bom petrol, Teresa dakwa usaha takutkan beliau

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengganggap kejadian membaling bom molotov cocktail di rumah ibu bapanya di Jalan Ipoh di sini awal pagi tadi bertujuan untuk menakut-nakutkan dirinya dan menghalangnya daripada menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat.

“Mungkin tindakan ini berpunca dari perasaan dendam terhadap saya dan keluarga selepas media dan blog tertentu menghina dan menggambarkan saya sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan bersifat perkauman, dengan mereka-reka cerita yang palsu, sebelum dan selepas saya ditahan di bawah akta ISA,” katanya.

Teresa ditahan di bawah ISA pada pada 12 September dan dibebaskan selepas seminggu disiasat.

Laporan polis telah dibuat bagi meminta siasatan segera dijalankan, agar mereka yang terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan, kata Teresa pada sidang media di rumah ibu bapanya di Taman Rainbow.

Sidang media itu turut dihadiri Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan wakil PAS.

Teresa berkata, dengan adanya ancaman itu, beliau berharap polis dapat menjamin keselamatan beliau dan juga keluarganya yang kini jelas terancam.

Lim berkata, DAP akan berjumpa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Seri Ismail Omar dalam waktu terdekat bagi memastikan keselamatan Teresa sekeluarga selamat dan terjamin.

Bapa Teresa, Kok Kim Tong, 74, berkata, kejadian tersebut berlaku pada 3 pagi apabila anak lelakinya yang sedang melayari internet terlihat seorang lelaki menaiki motosikal membaling sesuatu ke rumah mereka.

“Setelah diperiksa, terdapat dua molotov cocktail, dan salah satunya pecah. Tapi mujur tak meletup,” katanya yang memberitahu, ketika kejadian terdapat tujuh orang di dalam rumah tersebut.

“Kami juga menemui satu nota berunsur ugutan yang dilipatlipat lalu kami segera membuat laporan polis pada pukul 4 pagi,” katanya.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan yang dihubungi berkata Polis akan segera menyiasat bagi menjejaki individu yang terbabit dalam kejadian yang mengancam nyawa ini.

Kes ini akan disiasat di bawah seksyen 502 iaitu ugutan jenayah, katanya.

Pemangku Presiden Parti Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengutuk tindakan penjenayah yang melakukan perbuatan itu dan meminta polis dan kerajaan segera menyiasat kes tersebut, agar penjenayah dapat dibawa ke muka pengadilan.

“Ini kali kedua perkara sama berlaku kurang dari dua bulan. Sebelum ini, bekas rumah Presiden Majlis Peguam, S. Ambiga juga dibaling molotov cocktail,” katanya.

Katanya, sesiapa yang tidak setuju dengan dengan pendekatan Teresa, mereka harus menyatakan pandangan mereka dan harus berani untuk mengadakan perdebatan secara aman dan sekiranya mereka rasa tindakan beliau adalah salah, biar undang-undang yang menentukannya.

Koh berkata, sebarang kekerasan atau perkara yang menyalahi undang-undang akan menyebabkan ekonomi negara semakin merosot.
Read More ..

Friday, September 26, 2008

Tangguh AGM: Ku Li kecam, sifatkan "permainan kanak-kanak"


KOTA BAHARU: Bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mengecam keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti yang menangguhkan pemilihan sehingga Mac depan dengan menyifatkannya sebagai "permainan kanak-kanak."

Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu yang sebelum ini pernah menawarkan diri mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertanding jawatan Presiden berkata, beliau masih kekal dengan pendirian mahu menawarkan kepimpinan alternatif kepada Umno dan negara.

Tengku Razaleigh berkata, beliau tetap akan bertanding tidak kira bila pemilihan Umno diadakan.

"Kini kita sedia maklum bahawa Malaysia mempunyai prasarana bertaraf dunia dan politik negara dunia ketiga dengan pemimpin-pemimpin menjadikan negara sebagai sebuah republik pisang," kata beliau pada sidang media di sini mengulas keputusan mesyuarat khas MT pagi ini.

Tengku Razaleigh yang pernah bertanding jawatan Presiden pada 1987 tetapi tewas di tangan Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata:

"Saya fikir saya bercakap untuk negara apabila saya mengatakan bahawa saya rasa malu ekoran permainan kanak-kanak tidak habis-habis oleh dua pemimpin dewasa ketika berhadapan dengan tanggungjawab penting buat negara, tidak sedar soal perundangan, tidak sedar kerosakan yang mereka sebabkan kepada negara."

Kata beliau, berbanding memberikan pelan ekonomi nasional ataupun sebarang bentuk pembaharuan yang lain sejak 8 Mac lalu, kedua-dua pemimpin berkenaan hanya menyediakan "pelan peralihan kuasa" yang bertujuan menyelamatkan mereka daripada berhadapan dengan pemilihan parti.

Tegas bekas Menteri Kewangan itu, tindakan menangguhkan perhimpunan agung dan pemilihan menunjukkan parti meneruskan ketidaktentuan iklim politik dan memberikan ruang kepada pembangkang 'menyerang' kerajaan.

Beliau merujuk kedua-dua pemimpin berkenaan sebagai Abdullah dan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Dengan itu kata beliau, mereka hanya mengutamakan kepentingan kerjaya politik masing-masing berbanding nasib negara khususnya ketika era yang penuh mencabar ini.


Read More ..

Kerajaan Pakatan majoriti Islam - Anwar



KUALA LUMPUR, 25 Sept: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa majoriti ahli parlimen Islam dan bumiputera tetap akan dipertahankan sekiranya Pakatan Rakyat dapat membentuk kerajaan baru kelak.

“Saya berikan ketegasan bahawa majoriti ahli parlimen Muslim dan bumiputera itu dapat dipertahankan.

“Pakatan rakyat termasuk DAP menerima kenyataan ini. Tidak jadi masalah sama sekali,” kata Anwar dalam satu sidang media di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini Di MARANG, Terengganu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu bersedia untuk mengubah kerajaan dengan syarat kerajaan yang lebih baik daripada yang sedia ada.
PAS juga, katanya meletakkan syarat supaya kerajaan baru itu dikuasai Islam.

“Pertama, PAS meletakkan syarat kerajaan itu dikuasai oleh Islam. Jika Islam tidak majoriti, perubahan itu tidak akan disertai oleh PAS. PAS akan tarik diri terang-terang jika tidak majoriti Islam.

“Kedua, kerajaan itu mesti sebuah kerajaan yang kukuh dan bukan kerajaan yang lemah. Dan kerajaan kukuh mestilah oleh wakil-wakil rakyat yang konsisten (istiqamah) dan bukan yang penakut. Terang-terang kita sebut, jika wakil rakyat itu penakut, bagaimana hendak buat perubahan. Perubahan itu sementara sahaja,” ujarnya.

Siasah difahamkan, semasa pertemuan tiga penjuru antara Anwar, Abdul Hadi dan Mursyidul Am, Datuk Nik Andul Aziz Nik Mat di Kota Bharu, syarat majoriti Islam itu juga diberikan kepada Anwar oleh Abdul Hadi.

Dalam pertemuan itu, Anwar dikatakan telah memberikan penerangan tentang kaedah pembentukan kerajaan baru yang akan dibuat oleh beliau dan rakan-rakan Pakatan di Kuala Lumpur.
Read More ..

Tuesday, September 23, 2008

Gila

‘Laporan paling gila’

Oleh ZULKIFLI JALIL

PUTRAJAYA 23 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan laporan agensi berita AFP bahawa perundingan sedang dibuat antara wakil pembangkang dan kerajaan mengenai peralihan kuasa sebagai ‘laporan paling gila’ yang pernah didengarnya setakat ini.Perdana Menteri menegaskan, pihak berkenaan sepatutnya berfikir dahulu sebelum mengeluarkan laporan seumpama itu.

“Ini laporan ‘paling gila’ yang pernah saya dengar.

“Tidak ada sebarang mesyuarat dengan orang (Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Laporan AFP mendakwa Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua sebagai berkata bahawa pakatan pembangkang telah mula berunding dengan kerajaan berhubung peralihan kuasa selepas “mendapat sokongan mencukupi daripada Ahli-Ahli Parlimen untuk menumbangkan kerajaan.”

Laporan itu yang dilihat sebagai sebahagian daripada perang saraf PKR mendakwa Abdullah enggan bertemu dengan Anwar tetapi para pegawai dipetik sebagai berkata ‘kontak’ dibuat melalui orang tengah.

Di KOTA BHARU, Anwar terus berdolak dalik mengenai bila pakatan pembangkang dapat mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional (BN), tetapi kali ini nada Penasihat PKR itu jelas berbeza kerana ia tidak seyakin seperti sebelum kegagalannya membentuk kerajaan menjelang 16 September lalu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa, faktor utama yang menghalang peralihan kuasa tersebut adalah prosedur Parlimen yang memberikan kuasa kepada Perdana Menteri untuk memanggil persidangan khas.

“Kalau (kita) tengok prosedur Parlimen, hanya kuasa Perdana Menteri untuk memanggil sidang khas bagi usul undi tidak percaya. Peruntukan Parlimen pula tidak jelas mengenai kedudukan untuk membawa usul khas seperti ini,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan PKR Kelantan di Kota Bharu petang ini.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau tidak pernah menggunakan khidmat orang ketiga untuk bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan peralihan kerajaan.

"Saya bersetuju dengan Abdullah bahawa memang tidak ada pertemuan dengan pihak ketiga secara langsung walaupun ada usaha daripada pelbagai pihak untuk memastikan pertemuan itu berhasil.

"Dengan ini saya memperbetulkan kekeliruan daripada kenyataan Ketua Penerangan PKR, Tian Chua yang dibuat baru-baru ini," katanya.

Anwar, bagaimanapun, tidak memohon maaf kerana membiarkan Tian Chua membuat dakwaan yang tidak benar itu kepada wartawan AFP.

Dalam perkembangan sama, Tian Chua hari ini mendakwa Anwar kini menumpukan usaha meyakinkan pemimpin Pas terutama Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meredakan kekhuatiran bahawa ahli-ahli Parlimen beragama Islam akan diketepikan jika pakatan pembangkang mengambil alih kerajaan.

“Kita perlu berbuat demikian sebelum meneruskan bentuk tindakan yang seterusnya,’’ katanya kepada Bernama tanpa mendedahkan bentuk tindakan itu.

Minggu lalu, Anwar mahukan jawapan daripada Perdana Menteri selewat-lewatnya hari ini untuk mengadakan sesi Parlimen tergempar dalam usaha membawa usul undi tidak percaya terhadap Abdullah.

Anwar mendakwa beliau mempunyai sokongan daripada 31 anggota Parlimen BN yang akan lompat parti, satu dakwaan yang menimbulkan kemarahan para pemimpin BN kerana ia dianggap suatu pembohongan Anwar untuk menjejaskan kestabilan politik negara .

Bagaimanapun, Abdullah menolak cadangan Anwar itu.

Sebelum itu, Anwar secara terbuka mengumumkan bahawa beliau akan mengambil alih kerajaan pada 16 September tetapi tarikh itu berlalu begitu sahaja kerana BN masih kekal memerintah negara.

Ini menyebabkan banyak pihak melabelkan Anwar sebagai pembohong.

Utusan
Read More ..

Anwar bertemu Nik Aziz dan Abdul Hadi di Kota Bharu


KOTA BHARU, 23 Sept: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan khas dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini hari ini.

Pertemuan itu bermula jam 12.05 tengahari tadi di rumah rasmi MB Kelantan, JKR 10.

Presiden PAS, Abdul Hadi kelihatan mula-mula sampai di situ iaitu kira-kira jam 11.50 pagi diikuti Nik Aziz yang sampai kira-kira jam 11.55 pagi. Anwar pula tiba kira-kira jam 12.05 tengahari.

Hanya mereka bertiga sahaja terlibat dalam pertemuan tertutup itu.

Turut mengiringi Anwar ke JKR 10 adalah anggota Parlimen dari PKR Saifuddin Nasution Ismail, Amran Abdul Ghani dan Abdul Aziz Abdul Kadir.

Siasah

Read More ..

1 Oktober sasaran baru Pakatan, kes Anwar esok


PETALING JAYA: Selepas dua permintaan Pakatan Rakyat ditolak Perdana Menteri minggu lalu, kini perikatan pembangkang itu meletakkan tarikh sasaran yang baru - 1 Oktober ini - cuba merealisasikan pelan menukar kerajaan.

Pada 16 September lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah pun menolak permintaan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar diadakan pertemuan bagi membincangkan keadaan politik semasa negara dan membincangkan proses peralihan kerajaan secara aman, dan syor diadakan sidang khas Parlimen hari ini, yang dikemukakan dua hari kemudian.

Sasaran 16 September dan 23 September sudah pun berlalu.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua ketika dihubungi berkata, Pakatan Rakyat akan terus memastikan peralihan kuasa akan berlaku pada tarikh tersebut walaupun sidang Parlimen tergempar bagi membolehkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri ditolak.

"Kita sasarkan peralihan kuasa secara aman akan berlaku sebelum hari raya nanti.

"Ataupun satu persefahaman ke arah itu (peralihan kuasa) akan dapat dicapai pada 1 Oktober nanti," katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, Pakatan Rakyat sedang mengatur satu rundingan dengan wakil Perdana Menteri bagi membincangkan mengenai perlihan kuasa antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

"Perdana Menteri enggan menemui kita, jadi kita akan berusaha untuk berurusan dengan pegawai-pegawainya untuk berbincang.

"Kami percaya melalui perbincangan kita dapat membentuk kerajaan dalam keadaan aman," katanya.

Ditanya sama ada Pakatan Rakyat mempunyai perancangan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agung bagi memohon perkenan membentuk kerajaan baru, beliau berkata, perkara itu perlu diuruskan dengan cara terbaik.

"Sebelum kita mengadap Yang di-Pertuan Agung, lebih baik kita selesaikan dengan rakyat biasa dahulu," katanya.

Anwar mengumumkan saran Pakatan Rakyat membentuk kerajaan menjelang 16 September pada 1 April lalu.

Esok, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan mendengar hujah berhubung permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes liwat terhadap Anwar ke Mahkamah Tinggi.

"Esok mahkamah akan mendengar hujah kedua-dua pihak untuk mementukan permintaan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi," kata salah seorang peguam Anwar, Sankara Nair ketika dihubungi.

Bagaimanapun beliau tidak pasti sama ada mahkamah akan membuat keputusan esok ataupun sebaliknya kerana ia bergantung kepada mahkamah selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak.

"Sukar untuk dikatakan sekarang... kami ada banyak perkara untuk dihujah," katanya.

Pada 10 September lalu, Hakim S.M. Komathy Suppiah menetapkan esok ekoran bantahan terhadap permohonan itu oleh peguam Anwar, Sulaiman Abdullah.

Anwar, 60, yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen mengaku tidak bersalah pada 7 Ogos lepas terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Anwar kini dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000.
mStar
Read More ..

Monday, September 22, 2008

Abdullah akan lawan habis-habisan

Monday, September 22, 2008

SIASAH
KUALA LUMPUR, 22 Sept: Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Umno akan datang walaupun sebelum ini disebut-sebut akan melepaskan jawatannya segera.

Menurut sumber, perbincangan Abdullah dengan para pegawai kanannya serta penyokong kuat beliau di kalangan anggota Majlis Tertinggi Umno memutuskan 'Abdullah boleh mendapat pencalonan yang cukup' dari bahagian-bahagian Umno.

Keyakinan ini mereka perolehi selepas berbincang dan menolak sama sekali pandangan Datuk Seri Rafidah Aziz dalam mesyuarat MT Umno baru-baru ini Abdullah akan malu jika meneruskan niatnya untuk mempertahankan jawatannya.

Ini kerana, Rafidah dikatakan berkata dalam mesyuarat MT Umno Khamis lepas, Abdullah besar kemungkinan tidak mendapat pencalonan yang mencukupi untuk mempertahankan jawatannya sebagai presiden Umno.

Untuk itu, lebih baik Abdullah melepaskan jawatan itu sebelum mesyuarat bahagian Umno yang akan bermula Oktober ini.

Namun, selepas perbincangan dengan penyokong dan pegawainya, Abdullah mengambil sikap akan mempertahankan jawatannya kerana ingin menolak 'seolah-olah dia tidak akan mendapat cukup pencalonan untuk bertanding.'

Rafidah bersama Datuk Seri Muhyidin Yasin, Datuk Seri Hishamudin Tun Husein dan Datuk Shafei Apdal dikatakan mendesak Abdullah agar mempercepatkan peralihan kuasa bagi mempastikan BN terus kekal memerintah Malaysia.

Ekoran itu, Abdullah dikatakan bersedia untuk berundur lebih awal. Namun, selepas berbincang dan menilai semacam dia dihina oleh rakan-rakannya dalam Umno seolah-olah beliau sangat lemah sehingga tidak akan mendapat pencalonan yang mencukupi, Abdullah dikatakan bersedia berlawan balik.

Abdullah memerlukan pencalonan sekurang-kurangnya 30 peratus dari perwakilan Umno iaitu sekurang-kurangnya 58 pencalonan bagi membolehkan beliau mempertahankan jawatan presiden.

"Orang boleh menerima kalau ditolak sedikit tetapi kalau lebih-lebih sangat, dia akan melawan balik. Inilah yang berlaku kepada Abdullah. Dia sudah bersetuju untuk mempercepatkan proses peralihan kuasa. Tetapi kalau dia dihina sehingga dikatakan tidak akan mendapat pencalonan yang mencukupi, dia akan lawan balik. Inilah yang berlaku. Orang-orang Abdullah akan pastikan dia akan mendapat pencalonan yang cukup dan menang. Kena ingat, Abdullah adalah Perdana Menteri," kata seorang penganalisis politik kepada Siasah.

Ekoran dari itu, petugas Abdullah dikatakan mula bekerja. Semalam, Abdullah meluangkan masa dari petang hingga ke malam bersama dengan para pemimpin Umno di Perak.
Perak mempunyai perwakilan Umno antara tertinggi selain dari Johor.

Dengan tindakan Abdullah ini bermakna timbalannya yang berada di belakang usaha untuk mempercepatkan peralihan kuasa ini, Datuk Seri Najib berada di pihak yang sangat tertekan sekarang.

"Abdullah tidak hilang apa-apa kalau kalah kerana dia memang sudah mahu bersara, tetapi kalau Najib kalah, dia akan hilang segala-galanya," kata penganalisis itu.
Read More ..

Tak semudah itu… -KuLi


Cakap mudah… tetapi realitinya Tengku Razaleigh Hamzah sendiri meragui bagaimana Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mencapai impian menjadi Perdana Menteri dengan ikatan rapuh DAP dan PAS yang mempunyai perbezaan ketara dalam dasar dan ideologi.

Atas hakikat ini Ahli Parlimen Gua Musang yang merupakan bekas Menteri Kewangan itu yakin negara akan menghadapi keadaan yang buruk sekiranya Anwar menerajui kerajaan.

“Bagaimana hendak tadbir Malaysia dengan wujudnya dua ideologi dan dasar yang berbeza.”

“Saya rasa sukar bagi Anwar kerana DAP adalah rakan baik semasa pilihan raya, tapi apabila dasar dan ideologi mereka diambil kira, saya rasa Anwar tidak akan berjaya,”katanya.

Katanya Anwar yang dilantik ketua pembangkang di Parlimen perlu membuktikan dakwaannya bahawa beliau mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan, dan Barisan Nasional (BN) sudah kehilangan majoriti.

“Bila dia (Anwar) mendakwa memiliki jumlah itu (Anggota Parlimen yang menyertai Pakatan Rakyat), dia perlu membuktikannya, tapi dia gagal berbuat demikian, dia ini pandai buat tawaran yang dianggap popular kepada mereka yang mempercayainya,” katanya pada sesi dialog dengan pengendali-pengendali blog sebelum majlis berbuka puasa di rumahnya di Kuala Lumpur Ahad.
Tengku Razaleigh berkata Anwar berharap untuk menarik sokongan orang ramai terhadap agendanya untuk menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB).


“Sebab itu ada penyokong di kalangan parti Gerakan, MCA, MIC tertarik dengan tawaran dia. Ini memang menjejaskan BN. Pada pilihan raya lalu (8 Mac) BN kalah di banyak tempat. Selain dari itu, ada juga isu-isu yang lain,” katanya.

Sementara itu ketika bercakap kepada Agendadaily Tengku Razaleigh berkata

tiada jalan mudah bagi Ketua Pembangkang itu untuk ambilalih kerajaan walaupun beliau menghadap yang Dipertuan Agong,Sultan Mizan Zainal Abidin untuk membuktikan beliau cukup majoriti dalam parlimen melalui ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang didakwanya lompat parti.

Katanya, Anwar boleh bercita-cita nak jadi Perdana Menteri dan menghadap Yang Dipertuan Agong tetapi jika beliau betul-betul ada jumlah ahli parlimen yang cukup menyokongnya, ianya mesti diuji di Parlimen.

Sidang parlimen sesi terdekat akan bermula 13 Oktober ini.

“Ikut perlembagaan, jika Anwar betul-betul ada jumlah itu, dia bawalah (ahli parlimen) untuk usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen. Jika Perdana Menteri tak dapat sokongan dan Anwar ada cukup sokongan, Abdullah kena berhenti,” katanya.
Menurut Tengku Razaleigh Anwar tidak boleh buat cerita macam di kedai kopi kononnya sudah cukup ahli parlimen untuk jadi Perdana Menteri tanpa membuktikannya.

“Untuk membuktikan ini, Anwar kena pergi ke Parlimen bukan guna kuasa Yang Dipertuan Agong. Perlembagaan sudah tentukan, kekuatan satu kumpulan ditentukan di Parlimen,” katanya.

Katanya apabila Perdana Menteri jatuh dalam Parlimen, beliau mesti letak jawatan dengan menghadap Agong dan secara automatik jika ini berlaku, setiap menteri Kabinet gugur.

Dalam pada itu Tengku Razaleigh berkata mengikut perlembagaan, hanya Yang Dipertuan Agong berkuasa menentukan dan memilih siapa Perdana Menteri.

“ Ini tidak semestinya Anwar. Baginda boleh memanggil (Datuk Seri) Najib (Tun Razak), Anwar atau mana-mana ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Malah, secara berseloroh, Tengku Razaleigh berkata, yang Dipertuan Agong juga boleh melantiknya kerana beliau Ahli Parlimen Gua Musang.

Bagaimanapun katanya, Yang Dipertuan Agong mempunyai pilihan lain dengan membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum semula .- 21/9/2008

Oleh: ROSLAN BIAN
Read More ..