Friday, April 17, 2009

Zambry dan enam Adun BN tidak boleh hadiri sidang Dun Perak




















Mohamed Hanipa Maidin
HarakahDaily Fri | Apr 17, 09 | 10:14:14 pm MYT

Saya sedar ramai yang ingin tahu kesan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu yang memutuskan bahawa keputusan V.Sivakumar, Speaker Perak menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya hadir di Dun Perak selama 18 bulan dan 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.
Ramai yang bertanya saya adakah keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam exconya kini boleh menghadiri sidang Dun Perak?

Jika kita melihat kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar pro-Umno seperti Utusan Malaysia (17.4.2009) mereka dengan tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa Zambry dan enam exconya kini dibenarkan menghadiri sidang Dun Perak yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.

Sebagai salah seorang peguam yang terlibat dalam kes tersebut, saya menasihati rakyat agar tidak terkeliru dengan kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar Umno tersebut. Banyak yang mereka sembunyikan dan tidak jelaskan tentang apa yang sebenarnya berlaku di Mahkamah Persekutuan pada tarikh tersebut.

Marilah kita mulakan dengan melihat apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya di dalam saman yang mereka kemukakan ke atas Sivakumar di Mahkamah Tinggi dan kemudiannya didengar di Mahkamah Persekutuan.

Sebenarnya Zambry telah memohon sepuluh (10) perintah Mahkamah dan dari sepuluh perintah tersebut Mahkamah hanya membenarkan dua (2) perintah sahaja. Dua perintah yang dibenarkan oleh Mahkamah adalah seperti berikut:

Pertama, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang Zambry hadir di Dun Perak selama 18 bulan.

Kedua, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang enam exco Zambry untuk hadir di Dun Perak selama 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.

Lapan permohonan Zambry tidak dilulus Mahkamah

Itu sahaja dua perintah yang Mahkamah Persekutuan benarkan pada 16 April lalu. Tidak lebih dari itu. Apa sahaja kenyataan dari peguam Umno selain dari dua perintah tersebut bukanlah perintah Mahkamah sebaliknya adalah kenyataan mereka yang tidak berasas.

Memandangkan Mahkamah Persekutuan hanya membenarkan dua perintah di atas, adalah jelas Mahkamah tidak membenarkan lapan (8) perintah lain yang juga dipohon oleh Umno dan dihujahkan oleh para peguam Zambry dan pasukan peguam Sivakumar.

Apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya tetapi tidak dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan? Mari sama-sama kita saksikan lapan perintah yang TIDAK DIBENARKAN tersebut.

Meskipun peguam Umno berhempas pulas dan bermati-matian berhujah, Mahkamah Persekutuan TIDAK MEMBENARKAN perintah-perintah berikut:

1. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar (defendan pertama di dalam kes tersebut) menggantung dan melarang Plaintif Pertama (Zambry) menghadiri pada sidang Dun selama 18 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

2. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry menghadiri sidang DUN selama 18 bulan adalah menyalahi undang-undang.

3. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Plaintif ke-2 hingga Plaintif ke-7 (enam Exco) menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

4. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang enam Exco menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah menyalahi undang-undang.

5. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Zambry dan enam Exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka di dalamnya.

6. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya menghadiri sidang Dun Perak.

7. Perintah untuk mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan apa-apa arahan, perintah dan/atau petunjuk Sivakumar yang berbangkit daripada atau berhubung dengan keputusan Sivakumar yang bertarikh 18.2.2009.

8. Perintah-perintah, perisytiharan dan/atau relif lain yang difikir suaimanfaat oleh Mahkamah.

Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini bahawa lapan perintah di atas yang Zambry dan enam exconya pohon TIDAK DIBENARKAN oleh Mahkamah Persekutuan.

Atas dasar itu jika peguam Umno atau akhbar pro-Umno mengatakan bahawa Zambry dan enam exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak, jelas kenyataan itu bukan datang dari mana-mana perintah Mahkamah sebaliknya ianya hanya kenyataan tidak berasas dari peguam Umno dan akhbar mereka.

Kenyataan tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi undang-undang. Rakyat tidak perlu melayan kata-kata mereka yang dibuai khayalan tersebut.

Bagaimanakah Umno boleh mengatakan keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam Exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak sedangkan Mahkamah dengan secara jelas tidak membenarkan perintah yang mereka pohon iaitu perintah bahawa Zambry dan enam exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka dalamnya.

Kalau perintah tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan barulah mereka boleh mengatakan Zambry dan enam exconya boleh ke sidang Dun Perak.

Saya harap penjelasan di atas sedikit sebanyak dapat menjelaskan bahawa apa yang Umno kata di media massa adalah tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku.

Sivakumar masih Speaker dan beliau masih berbisa. Jika Umno terus mengeluarkan kenyataan mengelirukan tidak mustahil mereka mungkin akan dipatuk oleh Sivakumar dan saya percaya patukan selepas ini akan membuat Umno menderita lebih panjang.

Saya juga ingin tegaskan di sini apabila Zambry dan enam exconya membawa kes mereka di Mahkamah dengan mencabar keputusan Sivakumar sebagai Speaker yang sah, mereka mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan satu kesalahan kerana mendedahkan dokumen-dokumen rasmi Dun Perak tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Sivakumar sebagai Speaker.

Marilah kita sama-sama tunggu dan lihat apakah yang berlaku selepas ini.

Nota: Penulis ialah Pengerusi Lajnah Undang-undang dan hak Asasi Manusia PAS Pusat.- tajdid_
Read More ..

Tuesday, April 14, 2009

Salahkah Orang Kafir Baca Quran?

PARA pemuka Islam kini kalut membuat laporan polis terhadap Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming (foto) kerana Kor Ming membaca sepotong ayat Quran dalam ceramahnya. Cara Kor Ming membaca ayat Quran itu dikatakan telah menghina dan mempersendakan kitab suci Islam itu.(Lihat klip Us.Azhar berkaitan)


Mufti Perak, Harunssani Zakaria juga turut sama bangkit mengecam dengan bertanya apa hak Kor Ming membaca ayat Quran kerana dia (Kor Ming) tidak beriman kepada Islam?

Kenyataan dan pertanyaan Harussani itu mengejutkan! Apakah orang kafir tidak boleh membaca ayat Quran? Begitu sekali kerasnya Islam sampai melarang orang bukan Islam daripada membaca kitab suci itu.

Dalam hal ini saya merasa aneh dengan tingkah laku umat Islam negara ini yang begitu sensitif bila menyentuh soal agama. Sensitif yang berlaku itu pula tidak kena pada tempatnya. Macam mana orang bukan Islam hendak mengetahui keistimewaan Quran dan mukjizat Nabi Muhammad s.a.w. itu kalau mereka tidak boleh membaca ayat al-Quran?

Tidak ada pula didalam Quran ayat-ayat menjelaskan Quran tidak boleh dibaca oleh bukan Islam. Yang ada ialah ayat-ayat Quran yang mencela mereka yang tidak beriman dengan al-Quran. Tidak ada juga ayat yang melarang orang kafir daripada menyentuh al-Quran?

Dalam hal ini siapakah yang tidak beriman dengan al-Quran? Saya rasa bukan saja Kor Ming tetapi orang Islam (Melayu) juga tidak beriman dan yakin dengan Quran dan sunnah.

Tidak beriman dan yakin dengan Quran ialah tidak mengambil ayat-ayat Quran sebagai panduan dalam memerintah negara. Demikian juga mereka yang menghina janggut nabi juga manusia yang mempersendakan Rasulullah.

Dalam kes Kor Ming ini saya tidak nampak yang Setiausaha DAP Perak itu mencela dan menghina al-Quran. Seharusnya umat Islam dan para pemuka Islam memuji langkah Kor Ming itu dan merasa bangga sebab Kor Ming merujuk kepada Quran. Beliau tidak merujuk kepada Bible, Taurat atau pun Zabur untuk menguatkan hujahnya. Tetapi dia rujuk kepada Quran. Itu merupakan satu keistimewaan kepada Islam.

Umat Islam negara ini khasnya mereka yang mempertikaikan tindakan Kor Ming itu saya rasa tidak luas pengetahuannya dalam ilmu agamanya. Mereka tidak sampai mencecah ilmu syariat, tariqat, hakikat dan marifat. Mereka lebih terkongkong dengan ideologi politik partisan.

Di Kelantan orang Cina membaca ayat Quran dalam ceramah politiknya sesuatu yang tidak pelik dan asing. Tahun-tahun 70-an Pengerusi MCA Kelantan, Foo Chow Yong sering kali membaca ayat Quran dalam ceramah-ceramahnya dan juga ucapan rasmi sebagai Exco Kerajaan Kelantan.
Saya masih ingat ayat yang menjadi kesukaanaya ialah ayat dalam surah Al-Imran: 103 yang bermaksud; Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah nikmat Allah kepadamu.”

Chow Yong membaca ayat itu menyeru orang supaya bersatu padu dan tidak berpecah belah. Seruan supaya berpadu adalah ajaran Islam. Maksud dan tujuannya samalah dengan ayat yang dibaca oleh Kor Ming itu yang bermaksud hendaklah kamu (pemerintah) berlaku adil sesama insan (manusia).

Kalaulah Kor Ming tersalah quote, kenapa perlu membuat laporan polis. Sepatutnya kesalahan itu ditegur dengan baik dan penuh hikmah. Shabul Samaah Mufti Perak, Harussani sepatutnya memanggil dan mengajar Kor Ming dengan bacaan yang betul dan benar. Beliau bukannya melenting dan menunjukkan sikap perang dengan bukan Islam.

Di Kelantan bila Chow Yong baca ayat Quran umat Islam tidak melatah. Tidak ada ustaz, atau pun tok iman dan NGO Islam yang membuat laporan polis mendakwa dia mempersendakan Islam. Ini menunjukkan rakyat Kelantan faham mengenai hal itu dan tidak mudah memandang serong kepada orang bukan Islam yang membaca ayat-ayat Quran.

Sepatutnya umat Islam di Perak dan juga mereka yang mempertikaikan tindakan Kor Ming itu belajar dan mengambil iktibar apa yang dilakukan oleh rakyat Kelantan.

Sikap dan ketinggian kefahaman mengenai Islam itu nampaknya masih diteruskan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Nik Aziz bila ditanya mengenai Kor Ming itu tidak melenting dan melihatnya penuh bijaskana. Katanya, “sepatutnya Kor Ming lama dah membaca al-Quran dan tindakan beliau itu hasil dakwah Pas.”

Mufti Kelantan juga ketika itu Allahyarham, Datuk Haji Mohamad Noor, tidak pun menegur tindakan Foo Chow Yong itu. Apakah dalam soal ini, Mufti Perak Harussani merujuk kitab berlainan dengan kitab yang rujuk oleh Mufti Datuk Haji Mohammad Noor, Mufti Kelantan dalam melihat kes Foo Chow Yong itu?

Cara pemuka Islam yang membuat laporan polis dan Mufti Perak menegur Kor Ming itu ia menyebabkan orang bukan Islam jadi semakin takut dan gerun untuk mendekati Islam. Bagi saya tindakan dilakukan oleh umat Islam yang bertujuan menyokong UBN itu tidak bersifat fatah dan berfahaman sempit.

http://msomelayu.blogspot.com/ Read More ..