Friday, October 31, 2008

‘Hadiah Istimewa’ Menjelang Monsoon Cup - Penduduk Tok Abu Terima Notis Roboh Rumah



Ditulis oleh WanKay
Friday, 31 October 2008
Rumah yang bertanda pangkah menerima notis roboh, rumah yang bertanda anak panah (rumah kerabat JKKK) tidak diberi notis !

Kuala Nerus – Tempias pembangunan ‘rakus’ Pulau Duyong dan Monsoon Cup bakal memberikan ‘hadiah istimewa’ kepada penduduk asal yang tinggal di pesisir sungai Terengganu dalam DUN Seberang Takir.

Dalam keadaan ‘kroni’ yang terbabit bergembira menyambut keputusan kerajaan meneruskan penganjuran sukan tersebut dengan peruntukan RM22.6 juta, tiga keluarga di Kampung Tok Abu Seberang Takir mengalami ‘detik cemas dan perasaan gundah gulana’ kerana rumah mereka akan dirobohkan pada bila-bila masa mulai 22 Oktober lalu.


Pihak Pejabat Tanah Kuala Terengganu telah menghantar notis pada 22 September lalu mengarahkan mereka berpindah dalam tempoh 30 hari dan ‘merombak’ rumah mereka sendiri, sebelum pihak pejabat ‘membawa jentolak’ untuk menyodok dan merobohkannya.


Seorang penduduk yang terlibat, Encik Mokhtar Ali, 56, dari Kampung Seberang Tok Abu mendakwa beliau adalah penduduk asal dan telah tinggal di atas tanah tersebut sejak lebih 20 tahun lalu.



Katanya, tanah tersebut merupakan peninggalan keluarga serta mengakui tidak pernah membuat permohonan secara rasmi kerana pernah mendapat jaminan dari wakil rakyat Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).



“Saya akui kesilapan tidak membuat permohonan rasmi tetapi telah tinggal sejak lebih 20 tahun dan penduduk asal di kampong ini.



“Saya pernah dapat ‘jaminan’ seorang bekas wakil rakyat Umno-BN ketika itu supaya duduk (tinggal) di atas tanah itu tanpa rasa bimbang kerana telah turun-temurun,” jelasnya kepada Buletinonline, hari ini.



Beliau melahirkan rasa sedih dan dukacita kerana menerima notis dari kerajaan yang dipilihnya pada pilihanraya umum yang lalu.



“Saya rasa terkilan dan sedih dengan penerimaan notis itu dan harap kerajaan buat pertimbangan semula dengan menyediakan tapak baru untuk kami sekeluarga sebagai tempat tinggal baru,” katanya ketika ditemui Buletinonline semalam.



Menurutnya, pihak kerajaan negeri tidak akan membayar apa-apa pampasan terhadap notis tersebut kerana didakwa menceroboh tanah kerajaan.




Seorang warga emas dan ibu tunggal, Wan Mariam Endut, 62, turut melahirkan rasa sedih, terharu dan marah dengan perintah pejabat agar tanah yang diterokai oleh datuk neneknya, dikosongkan segera.



“Mak Cik cukup-cukup sedih dan terasa hati bila dapat notis kerajaan supaya kami kosongkan tanah itu yang diduduki sejak lebih 35 tahun lalu.


“tanah ini telah di terokai, diusahakan dan diduduki oleh ibubapa dan datuk nenek Mak Cik sejak Mak Cik dilahirkan lagi,



“Mak Cik pernah buat permohonan tanah itu sejak 10 tahun lalu tetapi kerajaan tidak memberikan jawapan dan tiba-tiba menerima notis roboh,” ujarnya dengan nada sedih dan terharu.



Katanya, kerajaan negeri perlu melihat kewajaran ‘menghalau’ penduduk asal yang tinggal di atas tanah tersebut sejak terun-temurun lagi.



Beliau juga meminta kerajaan berlaku adil, kerana menurutnya hanya tiga buah rumah sahaja disitu yang menerima notis roboh sedangkan dua rumah yang didiami oleh ‘kaum kerabat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung tidak diberi notis.




“Kerajaan kena adil, jangan pilih kasih, mengapa rumah Mak Cik yang kena sedangkan dua rumah lagi ‘adik beradik’ JKKK tidak diberi notis,”katanya sambil jarinya menunjuk kearah dua buah rumah tersebut.


Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) Seberang Takir, Haji Zakaria Dagang meminta kerajaan negeri membuat pertimbangan hak milik kepada tiga orang penduduk asal yang ‘tercicir’.



“Saya minta kerajaan negeri buat perkiraan dan pertimbangan semula untuk beri hak milik kepada tidak orang penghuni yang masing-masing telah terima notis roboh rumah mereka.



“mereka (mangsa) adalah penduduk asal di Kampung Tok Abu ini dan wajar diberi hak milik ke atas tanah yang telah mereka terokai dan usahakan,



“menurut kaedah Islam, mereka berhak diberi hak milik kerana usaha mereka ‘menghidupkan’ tanah tersebut ” ujarnya.



Katanya, tanah ganti dan pampasan perlu diberi jika kerajaan negeri terpaksa mengambil balik tanah-tanah tersebut.


Ketua Angkatan Muda Parti KeADILan Rakyat (AMK) Terengganu, Fariz Musa isu tersebut perlu ditangani segera dengan menggantikan tapak tanah baru kepada penduduk terbabit.



“Masalahnya, ke mana mereka hendak pergi jika rumah mereka dirobohkan dan kerajaan perlu tangani segera dengan menggantikan tapak tanah baru kepada penduduk yang terlibat dengan pengambilan balik tanah di Kampung Tok Abu,” tegasnya.



Oleh itu, katanya pihak Pejabat Tanah Daerah perlu menyediakan tapak tanah baru kepada beberapa buah keluarga tersebut yang tidak berjauhan dengan tempat kerja mereka.


Menurut notis (imej bawah) yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Kuala Terengganu, penduduk terbabit didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425 (1) Kanun Tanah Negara yang boleh diambil tindakan denda tidak melebihi RM50,000.00 atau tidak lebih lima tahun penjara atau kedua-dua sekali.


Notis berkenaan turut memaklumkan bahawa pihak Pejabat Tanah Daerah tidak akan mengeluarkan apa-apa amaran lagi dan tindakan roboh boleh dilakukan pada bila-bila masa dari sekarang

Read More ..

Wednesday, October 29, 2008

Dua Lelaki Yahudi Pujaan Ramai



Oleh CosaNostra

“ Kedua-dua mereka berada di bidang yang berlainan dan corak kerjaya profesional yang berbeza. Seorang dari mereka adalah superstar dalam arena sukan bola sepak. Manakala seorang lagi sememangnya superstar dalam arena hiburan di Hollywood.

Yang menyedihkan ialah kedua-duanya adalah pujaan menggunung bagi kebanyakan remaja dan belia muslim. Kita boleh dapati gambar-gambar dua lelaki ini dilekat di merata-rata tempat khususnya peminat fanatik mereka yang sememangnya skiptikal dalam budaya hedonisme.

Sama ada pelajar sekolah malahan pelajar IPT sekalipun sudah pasti muka kedua-dua Yahudi ini ada di dalam bilik-bilik asrama mereka Tidak cukup dengan itu, ditampalnya di fail-fail kuliah, dilekat dihadapan kulit-kulit buku dan diusung ke hulu ke hilir.Tambah menyakitkan mata apabila baju-baju yang memaparkan gambar kedua-dua lelaki Yahudi ini dibeli dan dipakai ke sana ke mari. Dan yang paling mendidihkan hati wajah-wajah Yahudi ini, atau paling tidak pun nama-nama mereka yang terpalit pada baju di bawa bersama semasa menunaikan solat di masjid.

Maka jadilah adegan David Beckham dan Slash turut solat berjemaah bersama peminatnya.

Keyahudian David Beckham

David Beckham atau nama sebenarnya David Robert Joseph Beckham ialah bintang bola sepak no 1 dunia. Beliau sebenarnya berketurunan Yahudi di sebelah datuknya. Beliau dilahirkan di Essex, iaitu daerah penempatan Yahudi terbesar di United Kingdom.

Permulaan karier bola sepak Beckham berputik sejak beliau kanak-kanak lagi iaitu di Ridgeway Park, Chingford. Adalah tidak memeranjatkan jika bintang David Beckham bersinar dalam arena ini kerana kedua-dua ibu bapanya adalah peminat fanatik kelab Manchester United.

Walaupun bukan penganut agama Judais yang taat, Beckham cuba menonjolkan imej keyahudiannya itu di mata dunia.

Anak David Beckham yang pertama telah dinamakan dengan nama Brooklyn Joseph Beckham. Semua orang mengetahui bahawa Broklyn adalah nama sebuah penempatan terbesar masyarakat Yahudi di New York.

Beckham juga mendedahkan dalam buku autobiografinya dengan mengatakan semasa kecil beliau pernah menghadiri upacara-upacara keagamaan Judais di Synagogue (tempat ibadat Yahudi) dan beberapa upacara perkahwinan saudara sebelah datuknya.

Semasa zaman kanak-kanaknya, beliau juga sering memakai kippah iaitu ketayap kecil yang sering dipakai oleh masyarakat Yahudi Israel..

(Gambar) Gaya rambut lelaki Yahudi ini kini ikutan belia seluruh dunia.

Pada April 2008 baru-baru ini, Beckham dan isterinya Posh telah mendaftarkan anak lelaki mereka iaitu Croz yang berusia 3 tahun di Pusat Jagaan Kanak-Kanak di Kuil Yahudi, Los Angeles. Berita ini dilaporkan oleh Nick Parker dalam akhbar The Sun bertarikh 16 April 2008.

Keyahudian Slash

Slash atau nama sebenarnya Soul Hutson merupakan lagenda gitaris rock era 90-an yang paling terkenal. Dengan rupa paras afrika-amerika, gaya rambut kerinting panjang menutup muka serta topi Uncle Sam yang tidak pernah lekang dari kepala, Slash berjaya menjadi ikon kepada peminat rock n’ roll.

Slash amat sinonim dengan Guns N’ Roses walaupun sebelum itu pernah menyertai kumpulan Snackpit dan sekarang ini Velvet Revolver. Dengan petikan gitar rock campuran country-style ini, Slash seringkali diundang untuk menjadi gitaris undangan sesetengah artis terkenal seperti Michael Jackson dan Ozzy Osborne.

Slash sebenarnya anak kepada pasangan Afrika-Amerika. Dia juga berdarah separuh Yahudi yakni mempunyai talian keturunan Yahudi sebelah bapanya. Ibunya Ola Hudson adalah pendatang berdarah campuran Afrika-Amerika.

Namun identiti yahudinya tidak pernah didedahkan pada era 1990-an kerana ketika semangat perkauman (racisme) terutamanya anti-sematik masih menebal.

Kini, walaupun dia (Slash) seorang Yahudi, dia tetap menjadi pujaan peminat muslim. Maka tidak hairanlah petikan gitarnya juga menjadi bunyi utama dalam lagu “Bayangan” nyanyian Ella.

Karektor Slash yang unik itu juga diabadikan oleh pelukis kartun terkenal majalah Ujang iaitu Gayour yang mana wataknya dijadikan watak utama dalam suatu ruangan kartun.

Walaupun kini usia lelaki yang lahir pada 1965 ini sudah pun mencecah hampir 45 tahun, lelaki Yahudi ini tetap menjadi kegilaan peminat-peminat muslim khususnya di Malaysia. Nampaknya selepas ini, mungkin Lenny Kravitz si Yahudi campuran itu akan mengikut jejak Slash.
Read More ..

Sunday, October 26, 2008

Terapi solat

Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my

KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia.

SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian.

Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.
Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?
Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba ke
pada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia.

Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.
Ng Siew Chok memakaikan topi elektrod untuk mengkaji gelombang otak.

Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.

Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.

Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan.

Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.
SOLAT terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.

“Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya.

Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris.

Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.

Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud.

Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah.

Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang.

Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu.

Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama.

“Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu.



Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit.

Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.

Read More ..