Monday, March 22, 2010

Presiden PAS Cadang Rukunegara Dipinda

Monday, 22 March 2010 22:54
Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencadangkan supaya Rukun Negara dipinda selepas kalimah Allah semakin diterima pakai oleh penganut bukan Islam.

"Saya meminta kerajaan untuk mengubah Rukun Negara pertama daripada percaya kepada Tuhan kepada percaya kepada Allah.

"Kita menerima secara positif, apa yang ditunjukkan bukan Islam walaupun terdapat kekeliruan terhadap orang bukan Islam. Tanggungjawab kita ialah menerangkan kekeliruan yang timbul itu," katanya

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong semasa merasmikan pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat semalam 22 Mac.

Tegasnya, Al-Quran tidak menghalang penganut agama lain untuk menggunakan kalimah Allah.

Katanya adalah menjadi tanggungjawab umat Islam bagi memberi penjelasan kepada penganut bukan Islam tentang makna penggunaan kalimah Allah tanpa memaksa mereka memeluk Islam.

"Mereka (penganut bukan Islam) menyebut nama Allah tanpa mengganggu kita. Kenapa kita tidak menerima secara positif pengguna bukan Islam untuk menggunakan kalimah Allah," katanya.

Katanya di Sarawak misalnya, penganut bukan Islam sudah mengamalkan penggunaan kalimah Allah dan perkara itu tidak menjadi perbalahan orang Islam dan Kristian di negeri itu.

"Yang penting penjelasan. Kalau dah timbul salah faham maka dialog antara pemimpin agama boleh dibuat…Inilah peluang untuk kita berdakwah dan bukannya bergaduh," katanya dipetik agensi Bernama

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, Abdul Hadi berkata pada dasarnya pembangkang mengakui serta menyokong pelan pembentukan kerajaan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Sept 2008.

Beliau berkata perkara itu memang dalam pengetahuannya dan beliau bersama-sama dengan Anwar pada masa itu sedang berusaha menjayakan pelan itu.

"Ya, kami (Pas) memang menuju ke arah itu," katanya.

Abdul Hadi turut berkata pendedahan nama Anggota-anggota Parlimen yang ingin 'menyeberang' dalam pelan itu yang dibuat oleh Anggota Parlimen Bebas Bayan Baru Datuk Zahrain Mohamed Hashim adalah tidak tepat.
Buletin

"Tidak, senarai yang didedahkan oleh Zahrain itu tidak betul dan tidak tepat," katanya. Read More ..