Friday, January 9, 2009

Kenapa Orang Beriman Tidak Boleh Mengundi UMNO/BN



Assalamualaikum.

Artikel ini ditulis bertujuan untuk menjelaskan kepada umum kenapa orang yang beriman tidak boleh mengundi UMNO/BN, secara rasional, berlandaskan nas, yakni ayat Al-Quran yang wajib diimani oleh sesiapa sahaja yang mengaku sebagai seorang Islam yang hidupnya di dunia ini hanya semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t., yang inginkan kesejahteraan hidup di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat.

Sesungguhnya, setiap butir bicara, setiap gerak langkah dan setiap perbuatan kita adalah sentiasa dalam pemerhatian dan penilaian oleh Allah S.W.T. Sebagai seorang Islam, kita meyakini akan adanya Hari Pembalasan yang akan memperhitungkan segala apa yang telah kita lakukan semasa hidup di dunia ini. Tidak ada satu saatpun yang akan terlepas dari pertimbangan neraca Allah di Padang Mahsyar yang amat dahsyat itu. Itulah keagungan dan keadilan Allah yang pasti akan dirasai oleh setiap manusia.

Oleh kerana kita diperhatikan oleh Allah, dinilai, dan akan diperhitungkan dihadapanNya di hari akhirat kelak, maka pastinya ada peraturan-peraturan, perintah-perintah, tegahan-tegahan dan hukum-hakam yang mesti kita patuhi, ikuti dan taati sebagai hambaNya. Pastinya ada kayu pengukur dalam menentukan apa yang salah dan apa yang benar, dan tentunya Allah sebagai tuhan pencipta tidak akan membiarkan hamba-hambanya sendirian teraba-raba mencari arah tuju kehidupan dan kemudian menghukum hamba-hambaNya kerana tersalah dalam membina cara hidup yang tidak selari dengan kehendakNya. Kerana itulah hamba-hambaNya telah dibekalkan dengan semulia-mulia panduan dan ikutan iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.


Beriman dengan Al-Quran merupakan salah satu dari rukun iman yang enam. Untuk mengupas pengertian dan tuntutan rukun iman tidak mungkin dapat dilakukan di dalam tulisan yang sesingkat ini. Cukuplah sebagai penjelasan bahawa beriman dengan Al-Quran itu bukanlah sekadar satu ucapan. Tidak juga dikatakan beriman dengan Al-Quran itu sekadar membaca Al-Quran sehingga khatam dengan tajwid yang bagus dan dengan tarannum yang indah. Sesungguhnya beriman dengan Al-Quran itu ialah dengan memahaminya, mempercayainya dan melaksanakan segala yang terkandung di dalamnya. Bagaimana mungkin kita dapat menyempurnakan tuntutan ini jika kita tidak memahami Al-Quran? Kerana itu bagi menyempurnakan tuntutan beriman kepada Al-Quran maka mempelajari Al-Quran merupakan satu kewajipan bagi setiap Muslim.


Bagaimanakah cara mempelajari Al-Quran?

Tuntutan mempelajari Al-Quran adalah mengikut keutamaan yang berikut :

i.belajar membaca Al-Quran dengan bacaan yang betul (bacaan bertajwid) sehingga khatam
ii.belajar makna dan tafsir Al-Quran dengan tujuan untuk dijadikan panduan, amalan dan ikutan hidup di dunia ini
iii.mendalami pelajaran ilmu tajwid Al-Quran

Rata-rata dikalangan kita hari ini lebih mengutamakan mempelajari ilmu tajwid secara mendalam dari memahami dan mempelajari tafsir Al-Quran, sedangkan mendalami ilmu tajwid itu merupakan fardu kifayah. Alangkah indahnya sekiranya kita mahir ilmu tajwid dan di waktu yang sama kita menguasai ilmu tafsir kerana dengannya kita akan lebih memahami Islam dan tidak mudah terpedaya dengan segala tipu daya dunia yang membinasakan. Kerana itulah ramai orang Islam yang tidak faham Islam kerana Islam itu tidak lagi diamalkan berlandaskan pengetahuan dari petunjuk Al-Quran.

Hanya dengan mempelajari Al-Quran mengikut kaedahnya dengan sempurna barulah kita akan dapat menyempurnakan tuntutan rukun iman dan seiringan juga dalam menyempurnakan iman kita terhadap Allah s.w.t secara keseluruhannya.

Sesungguhnya dengan memahami dan mengikut segala panduan, perintah dan petunjuk Al-Quran barulah kita akan selamat dan terhindar dari segala kesesatan.

Sabda Rasulullah s.a.w :

“Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara tidak akan kamu sesat selama kamu berpegang dengan keduanya: iaitu Kitab Allah dan Sunnah RasulNya”.
(Hadith riwayat Malik)

Firman Allah s.w.t. :

“Dan telah Kami turunkan kepada engkau Al-Kitab (Al-Quran) untuk menerangkan bagi segala sesuatu dan untuk menjadi petunjuk dan rahmat dan perkhabaran gembira bagi orang-orang yang beriman”.

(Surah Al-Nahl : 89)


Memang sesungguhnya Al-Quran itu menjadi petunjuk iaitu penerang kepada kegelapan, penyuluh jalan kebenaran dan pemisah di antara yang haq dan yang batil, namun semua itu (Al-Quran) hanya akan menjadi petunjuk kepada manusia yang berusaha menjadikan dirinya bertaqwa dan tidak akan menjadi petunjuk kepada manusia yang menurut hawa nafsu dan enggan patuh pada ketentuan dan perintah Allah.

Firman Allah s.w.t :

“Demikian itulah kitab (Al-Quran) tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa”.
(Surah Al-Baqarah: 2)

Kerana itu hendaklah kita berusaha menjadikan diri kita hamba yang bertaqwa kepada Allah dengan patuh kepada segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya bagi menjadikan diri kita berada dalam golongan yang mendapat petunjuk dari Al-Quran.

Di dalam Al-Quran terkandung ayat-ayat Allah yang menjadi perintah dan hukum yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan oleh seluruh hamba-hambaNya. Di antaranya ialah perintah supaya melaksanakan undang-undang dan peraturan hidup yang telah ditetapkan oleh Allah. Tidak melaksanakan perintah Allah yang terkandung dalam Al-Quran akan menjadikan seseorang itu sekurang-kurangnya bermaksiat kepada Allah yakni terus-terusan melakukan dosa, dan jika mengingkarinya maka akan jatuh kufur yakni kafir setelah beriman.

"Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) Dengan membawa kebenaran, supaya Engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah Engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat"
(Surah An-Nisa : 105)
"Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya) , maka mereka itulah orang-orang kafir"
(Surah Al-Maidah : 44)
"sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim"
(Surah Al-Maidah : 45)

"sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq"
(Surah Al-Maidah : 47)
"tidakkah Engkau (hairan) melihat (Wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu, dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.
(Surah An-Nisa : 60)
“Dan tidaklah harus bagi orang Mukmin laki-laki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu hukum bahawa ada lagi bagi mereka pilihan dari urusan mereka, dan barang siapa menderhakai Allah dan rasulNya, maka sesungguhnya telah sesat ia sebagai kesesatan yang nyata”.
(Surah Al-Ahzab: 36)
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasiq (derhaka) .”
( Surah Al-Hadid: 16 )

Dari ayat-ayat Al-Quran di atas jelas menunjukan bahawa melaksanakan undang-undang, peraturan dan hukum-hukum Allah di atas muka bumi ini adalah satu perintah dari Allah. Tentu sahaja begitu kerana bumi ini kepunyaan Allah. Allah Pencipta dan Penguasanya. Kita ini juga milik Allah, segala yang ada pada kita adalah kurniaan Allah. Kita hambaNya, maka sebagai hamba, patuh dan taat sahajalah kepada segala perintah Allah tanpa sebarang hujah atau alasan. Siapa kita nak berhujah dengan Allah?
Maka di sini adakah segala perintah Allah itu dilaksanakan oleh UMNO/BN? Jika tidak melaksanakannya apakah hukumnya? Apabila jelas sesuatu perintah Allah itu tidak dilaksanakan, sekurang-kurangnya seseorang itu tergolong dalam golongan fasiq dan bermaksiat kepada Allah, kalau mengingkarinya maka jatuh kafir.
UMNO/BN tidak mempunyai niat untuk melaksanakan undang-undang Allah di negara ini. Lebih malang lagi, para pemimpinnya baik yang mengaku Islam, lebih-lebih lagi yang bukan Islam, ada yang menghina, mempersenda dan memperlekehkan hukum-hukum Allah dan Al-Quran itu sendiri.
Kita semua maklum bahawa tiada sebarang dasar dalam UMNO sendiri yang menjadi paksi perjuangan untuk menjadikan hukum-hukum Allah yang terkandung dan termaktub dalam Al-Quran sebagai undang-undang utama di negara ini. Ini sudahpun terbukti selama 50 tahun memerintah. Apabila ini sudah jelas, maka jelaslah juga bahawa melaksanakan hukum dan peraturan ciptaan manusia, mengatasi hukum dan peraturan Allah adalah satu perbuatan maksiat kepada Allah, malah boleh membawa kepada syirik dan kufur. Maka dalam hal ini adalah haram hukumnya untuk taat kepada pemimpin yang menyeru kepada perkara bermaksiat kepada Allah. Tidak ada lagi kewajipan dan ketaatan ke atas pemimpin dalam perkara ini.
Dari Ibnu Umar dari Nabi s.a.w., baginda bersabda :

"Wajib atas seseorang Muslim untuk mendengar dengan patuh serta mentaati, baik dalam hal yang ia senangi dan yang ia benci, melainkan jikalau ia diperintah untuk sesuatu kemaksiatan. Maka apabila ia diperintah (oleh penguasa pemerintahan) dengan sesuatu kemaksiatan, tidak bolehlah ia mendengarkan perintahnya itu dan tidak boleh pula mentaatinya." (Muttafaq 'alaih)

“Setiap Muslim wajib mendengar dan taat dalam perkara yang disukai mahupun dibenci. Tetapi apabila diperintahkan dalam hal kemaksiatan, maka tidak boleh mendengar dan taat”. (Hadis Riwayat Muslim 3/1468. Tirmizi 1707 dan Ibnu Majah 2864 dari jalur Laits bin Sa’ad dari Ubaidillah al-Umari dari Nafi’ dari Ibnu Umar)

Dalam konteks negara kita Malaysia yang mengamalkan sistem pilihanraya, rakyatlah yang sebenarnya bertanggungjawab dalam menentukan corak pemerintahan negara. Di tangan rakyatlah terletaknya kuasa untuk memilih samada untuk mengikut panduan Al-Quran dan patuh pada perintah Allah atau sebaliknya menderhakaiNya. Sekiranya kita berada di dalam negara yang sememangnya mempunyai peluang untuk kita melaksanakan perintah Allah yang terkandung di dalam Al-Quran dalam urusan pemerintahan, maka adalah menjadi tanggungjawab kita memastikan perintah dan hukum Allah itu terlaksana.

Berbeza dengan umat Islam yang berada di dalam negara yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja tanpa pilihanraya seperti yang diamalkan di sebuah negara jiran, tanggungjawab bagi melaksanakan perintah dan hukum Allah dalam undang-undang dan peraturan negara tidak menjadi tanggungjawab rakyat kerana bukan rakyat yang mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang akan memerintah negara tersebut.

Begitu juga bagi umat Islam yang tinggal di negara yang dikuasai atau dimiliki oleh orang bukan Islam. Walaupun mengamalkan piliharaya, namun tiada pilihan atau peluang untuk mengundi parti yang berdasarkan Islam dan berjuang untuk menegakkan undang-undang Allah di negara tersebut.

Oleh itu, apabila kita mengundi UMNO/BN dan menjadikan UMNO/BN terus memerintah negara ini dengan hasil undi kita, dan terus mengekalkan undang-undang dan peraturan yang bertentangan dengan perintah dan kehendak Allah, maka kita turut sama melakukan maksiat kepada Allah kerana kitalah yang memberi undi kepada UMNO/BN untuk terus berkuasa dan bermaksiat kepada Allah, sepatutnya untuk menyelamatkan diri dari azab Allah di hari akhirat kelak, kita perlu memberikan sokongan kepada golongan yang berjuang untuk menegakkan hukum Allah dengan menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar dan teras perjuangan mereka. Samada menang atau kalah bukanlah menjadi urusan kita lagi, yang pentingnya kita telah melaksanakan tuntutan rukun iman dengan patuh pada Al-Quran bagi menyempurnakan keimanan kita kepada Allah s.w.t. dan bersedia untuk dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t di hari akhirat kelak. Sesungguhnya kemenangan yang mutlak ialah apabila bertemu dengan Allah s.w.t dengan penuh redhaNya.

Maka dengan itu jelaslah sebabnya kenapa orang beriman tidak boleh mengundi UMNO/BN kerana kepatuhan dan tanggungjawab yang utama adalah melaksanakan segala perintah Allah dan RasulNya.

“Sesungguhnya solatku dan ibadahku dan hidupku dan matiku kerana Allah tuhan sekalian alam”.

Ibnu Ahmad

Read More ..