Friday, April 10, 2009

Nik Aziz suka Nga kenali Islam



Apr 10, 09 2:50pm
Mursyidul am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan exco kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, Nga Kor Ming membaca ayat al-Quran semasa berceramah dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang minggu lalu sebagai percubaan mengenali Islam melalui pembacaan kitab suci itu.

Sehubungan itu, kata menteri besar Kelantan, beliau terharu dengan keluhan Nga yang juga ahli parlimen Taiping dan ADUN Pantai Remis, yang amat kesal "kerana apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang".

bukit gantang by election nga kor ming dap ceramah 310309 01Sebelum ini beberapa laporan polis dibuat terhadap Nga, termasuk Badan Bertindak Perpaduan Melayu, kerana didakwa mempersendakan Islam apabila setiausaha DAP Perak itu menggunakan ayat al-Quran dalam ceramahnya sewaktu kempen dalam pilihanraya kecil kerusi parlimen tersebut.

Dalam laporannya itu, presiden NGO Osman Abu Bakar mendakwa Nga mempersendakan Islam dengan menyebut ayat al-Quran daripada surah Al-A'raf untuk tujuan kempen dan menyebut kalimah tersebut secara tidak betul.

Beliau mendakwa Nga menyebut Surah Al-A'raf sebagai Al-Aurah dalam ceramah tersebut.

"Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati Yang Berhormat (Nga)," tegas Nik Aziz dalam surat terbukanya berhubung isu tersebut.

"Mudah-mudahan dengan sikap 'tidak mesra Umno' dan pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran bukan Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas," tambahnya.

Nik Aziz juga berkata beliau mempunyai impian bahawa dalam tempoh tidak berapa lama lagi.

"Mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi qari, ustaz, khatib dan imam di seluruh negara," tegasnya.

Menurutnya, Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul memusnahkan tamadun Islam di Kota Baghdad tetapi kerosakan tersebut sempat ditebus semula melalui cucunya Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya.

Maka Nik Aziz mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara ini melalui kaedah dan insiden yang hampir sama.

'Mudah-mudahan YB-lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

"Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana.

"Tajuk-tajuk seperti 'di mana tak kenanya Islam' atau 'apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam' bolehlah difikirkan," katanya.

Manakala anggota panel, tambahnya, boleh dipilih daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan juga pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas.

"Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid, surau, kuil, dewan-dewan perhimpunan, di universiti- universiti, baik di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) atau institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB (Nga). Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini.

"Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana," tambah tokoh PAS itu.

Malaysiakini
Read More ..