Saturday, November 10, 2007

Lebih 100,000 sertai himpunan, 30 ditahan







Sabtu 10 November 2007 | 29 Shawwal 1428 Hijrah
----------
Lebih 100,000 sertai himpunan, 30 ditahan
Wan Nordin Wan Yaacob
Sat | Nov 10, 07 | 5:32:45 pm MYT

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Hrkh) - Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar memaklumkan BERSIH berjaya mengumpul lebih 100,000 peserta dalam perhimpunan aman yang bermula sejak jam 2.00 petang tadi di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, khususnya di kawasan Istana Negara walaupun terpaksa mengharungi pelbagai sekatan polis.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Beliau yang menghubungi Harakahdaily sebentar tadi berkata, PAS dan pakatan dalam Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berjaya mengawal perhimpunan dan membuktikan tiada unsur ganas atau sebagainya seperti yang diuar-uarkan Umno-BN sebelum ini.

Bangga dengan sikap yang ditunjukkan peserta perhimpunan, beliau menyifatkan ia cukup berjaya menyampaikan mesej kepada kerajaan bahawa rakyat menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

"Kami berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara dan pulang semula ke tempat masing-masing tanpa sebarang kekecohan, mahupun tindakan provokasi," tegasnya.

Begitupun, katanya beberapa penangkapan yang berlaku di Dataran Merdeka, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Sogo yang melibatkan lebih 30 peserta adalah kerana tindakan polis menyekat perarakan dari kawasan terbabit.


Beliau mengecam keras tindakan polis yang sejak dari semalam memulakan sekatan terhadap peserta perhimpunan dengan sekatan di beberapa batang jalan raya, lebuh raya dan plaza tol pelbagai arah menuju ke Kuala Lumpur.

"Kami telah buktikan bahawa tanpa gangguan kami boleh berhimpun secara aman," kata Kamarudin.

Menurut beliau, perjalanan perarakan dari Masjid Negara sedikitpun tidak menampakkan kekecohan mahupun aksi ganas, malah peserta cukup menjaga tingkah laku semasa berjalan menuju ke Istana.

Begitu juga semasa perjalanan pulang, peserta perarakan raksasa itu mampu mengawal diri tanpa sebarang keganasan mahupun tindakan provokasi.

Sementara itu mengulas mengenai tindakan seterusnya yang akan dilakukan PAS dalam menyelesaikan masalah peserta yang ditahan beliau menyatakan setakat ini pimpinan sedang berbincang di Pejabat Agung PAS mengenai perkara tersebut di Jalan Raja Laut.

Tindakan susulan akan dimaklumkan kemudian, katanya.

Terkini perkembangan dari Dataran Merdeka, Jalan Tunku Abdul Rahman dan sekitar Sogo, Azamin Amin melaporkan keadaan agak lengang setelah lebih 30 peserta himpunan ditangkap pihak polis dalam serbuan rambang sekitar jam 3.30 petang hingga hingga 4.15 petang tadi.

Klik untuk lihat gambar liputan Himpunan Bersih
Read More ..

Friday, November 9, 2007

Ucapan dasar Presiden Umno kesan 'takut' kepada himpunan Bersih esok


Ucapan dasar Presiden Umno kesan 'takut' kepada himpunan Bersih esok
Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | Nov 09, 07 | 8:44:48 pm MYT

Perhimpunan Agung Umno 2007 baru sahaja selesai kira-kira jam 6.30 petang tadi dengan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyudahkan majlis 'suram' itu dengan lagak bengis 'membalun' habis-habisan himpunan aman yang bakal diadakan oleh Gabungan Pilihan Raya Adil dan bersih (Bersih) di Dataran Merdeka esok.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Bagaikan singa, Abdullah yang sebelum ini dikenali dengan pemimpin yang lembik, lemah dan kuat tidur akhirnya terjaga dari lamunan semata-mata kerana adanya pihak yang mahu menganjurkan himpunan 100,000 rakyat di tempat keramat iaitu di Dataran Merdeka di mana di situlah bendera Union Jack diturunkan.

Cukup marah dan keras kecaman yang dilemparkan Abdullah terhadap Bersih satu gabungan pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik yang mahu demonstrasi jalanan sebagai satu kaedah memberi tekanan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mereformasikan perjalanan pilihan raya di negara ini.

Bimbang kehadiran pimpinan utama pembangkang

Mana tidaknya himpunan esok akan membariskan antaranya, Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim; 68 NGO dan pelbagai parti pembangkang lain seperti DAP, KeADILan dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Dari ucapan Abdullah sebentar tadi, nyata beliau mungkin sekali telah mengarahkan jentera kerajaan terutamanya pihak polis untuk bertindfak ke atas perhimpunan esok.

Kata Abdullah himpunan sedemikian bukanlah amalan demokrasi yang dibenarkan di negara ini kerana katanya bimbang ianya akan menjadikan negara kucar-kacir.

Abdullah mengambil peristiwa di Batu Buruk pada 8 September lalu sebagai 'contoh' kononnya ia adalah keganasan pihak pembangkang yang tidak mahu tunduk kepada undang-undang.

Anak menantu PM sendiri langgar undang-undang?

Penulis ingin ingatkan kepada Perdana Menteri bahawa kenyataan beliau itu juga adalah satu peringatan kepada beliau sendiri memandangkan begitu ramai kepimpinan negara hari ini yang sebenarnya tidak menghormati undang-undang.

Anak Perdana Menteri, Kamaluddin Abdullah sendiri melanggar undang- undang rimba ciptaan Umno, (ISA) dengan bekerjasama dengan BSA Tahir melalui syarikat Scomi membekalkan komponen nuklear yang akhirnya BSA Tahirlah yang terperangkap dalam akta 'draconian' itu dengan disumbat ke dalam ISA.

Laporan Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Ezam Mohd Noor terhadap anak PM mengenai penggunaan kedudukan PM untuk mendapatkan beberapa tender kerajaan juga merupakan satu penyelewengan dan tidak menghormati undang-undang negara.

Selain itu ketika penamaan calon di Pilihan Raya Dun Ijok, menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin disebut-sebut sebagai individu yang mencetus provokasi yang menyebabkan keadaan menjadi tegang hingga adanya adegan baling membaling antara penyokong BN dan KeADILan ketika itu.Bukankah ini satu pelanggaran undang-undang?

Menantu PM sendiri didakwa menggunakan kedudukan Perdana Menteri untuk memiliki saham dalam ECM Libra yang akhirnya terpaksa dijual semula setelah adanya desakan dari pembangkang dalam isu tersebut.Ini juga satu penyelewengan.

BN guna jentera kerajaan ketika pilihan raya

Dalam pilihan raya pula rasuah politik, penyelewengan daftar pemilih, penggunaan jentera kerajaan dalam kempen pilihan raya, penggunaan pihak berkuasa polis, platform rasmi kerajaan semasa dan selepas Parlimen dibubarkan adalah satu salahguna kuasa dan tindakan yang tidak patuh kepada undang-undang.BUkankah Abdullah juag menyedari hakikat ini, tetapi menyembunyikannya untuk kepentingan politik.

Umum mengetahui bahawa Barisan Nasional (BN) dan Umno akan menggunakan semua jentera, kemudahan dan media massa untuk berkempen habis-habisan ketika pilihan raya sedangkan suara pembangkang disenyapkan.

Inikah demokrasi yang dinyatakan Abdullah sebagai jalan yang seharusnya direstui rakyat?Malang sekali Malaysia memiliki Perdana Menteri berfikiran kelas ketiga dan teruk dari itu kepimpinan beliau ternyata dikritik oleh bekas 'boss' nya, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana kelemahan dalam mentadbir.

Penyelewengan yang berlaku disetiap kali pilihan raya tidak pernah didedahkan media arus perdana, sebaliknya media mempropagandakan keburukan pembangkang untuk mendoktrinasi pemikiran rakyat untuk terus tunduk kepada rejim sedia ada.

Himpunan hambar dan tidak ada isi

Malang sekali, Himpunan Agung Umno yang berlansung sejak 5 November lalu hanya berakhir dengan ketakutan yang amat sangat oleh Presidennya sendiri setelah menghentam habis-habisan program yang bakal membuka pekung kerajaan di mata rakyat.

Benarlah kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar bahawa tiada mesej besar yang disampaikan Abdullah dalam himpunan Umnom kali ini melainkan melagukan semula retorik Islam Hadharinya selain bermegah dengan pencapaian yang tidak setara mana itu.

Jika Abdullah dan kerajaanya bertindak menghalang keras himpunan esok dengan pelbagai taktik seperti penggunaan provokator di kalangan polis berpakaian awam bagi menghuru-harakan keadaan nyatalah sebenarnya merekalah yang melanggar undang-undang dan bukannya Bersiha atau rakyat yang ingin berhimpun secara aman.

* Klik untuk Sumbangan Dana Pembaca HarakahDaily.Net. Read More ..

Tubuhkan Darul Quran di setiap negeri


09/11/2007

Tubuhkan Darul Quran di setiap negeri

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta menubuhkan Darul Quran di setiap negeri bagi melahirkan lebih ramai insan ulul albab di negara ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kubang Kerian, Anuar Safian berkata, dengan penubuhan lebih banyak pusat tersebut, hasrat Perdana Menteri untuk melihat lebih ramai insan ulul albab di negara ini akan dapat dicapai.

"Di Malaysia, terdapat 136 pusat tahfiz al-Quran, bagaimanapun hanya ada satu Darul Quran iaitu di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

"Satu Darul Quran sahaja tidak mencukupi untuk melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia yang tahfiz al-Quran’’ katanya yang merupakan pembahas terakhir usul agama dan sosial pada Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.

Anuar yang juga Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO negeri itu turut menyarankan agar kesemua pusat tahfiz al-Quran diletakkan di bawah Jakim bagi memudahkan kerajaan memantau dan menyelaraskan program di pusat tersebut.

"Buat masa ini, hanya Darul Quran sahaja diletakkan di bawah Jakim, manakala 15 lagi milik kerajaan negeri dan 120 pusat ditubuhkan oleh pihak swasta,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kesemua masjid besar di negara ini dijadikan pusat industri barangan halal.

Sebagai contoh, katanya, masjid-masjid tersebut boleh menyewakan stor-stor di situ kepada peniaga yang menjalankan perniagaan barangan halal.

"Kita boleh ambil contoh seperti apa yang dibuat di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur.

"Mereka telah menyewakan stor-stor yang ada kepada pengusaha barangan halal,’’ katanya.

Ia secara tidak langsung, kata beliau, memberi pendapatan tambahan kepada pihak masjid tanpa perlu mengutip derma daripada pelbagai pihak sekiranya mahu menjalankan sesuatu projek.

- Utusan Read More ..