Tuesday, September 23, 2008

Gila

‘Laporan paling gila’

Oleh ZULKIFLI JALIL

PUTRAJAYA 23 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan laporan agensi berita AFP bahawa perundingan sedang dibuat antara wakil pembangkang dan kerajaan mengenai peralihan kuasa sebagai ‘laporan paling gila’ yang pernah didengarnya setakat ini.Perdana Menteri menegaskan, pihak berkenaan sepatutnya berfikir dahulu sebelum mengeluarkan laporan seumpama itu.

“Ini laporan ‘paling gila’ yang pernah saya dengar.

“Tidak ada sebarang mesyuarat dengan orang (Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Laporan AFP mendakwa Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua sebagai berkata bahawa pakatan pembangkang telah mula berunding dengan kerajaan berhubung peralihan kuasa selepas “mendapat sokongan mencukupi daripada Ahli-Ahli Parlimen untuk menumbangkan kerajaan.”

Laporan itu yang dilihat sebagai sebahagian daripada perang saraf PKR mendakwa Abdullah enggan bertemu dengan Anwar tetapi para pegawai dipetik sebagai berkata ‘kontak’ dibuat melalui orang tengah.

Di KOTA BHARU, Anwar terus berdolak dalik mengenai bila pakatan pembangkang dapat mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional (BN), tetapi kali ini nada Penasihat PKR itu jelas berbeza kerana ia tidak seyakin seperti sebelum kegagalannya membentuk kerajaan menjelang 16 September lalu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa, faktor utama yang menghalang peralihan kuasa tersebut adalah prosedur Parlimen yang memberikan kuasa kepada Perdana Menteri untuk memanggil persidangan khas.

“Kalau (kita) tengok prosedur Parlimen, hanya kuasa Perdana Menteri untuk memanggil sidang khas bagi usul undi tidak percaya. Peruntukan Parlimen pula tidak jelas mengenai kedudukan untuk membawa usul khas seperti ini,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan PKR Kelantan di Kota Bharu petang ini.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau tidak pernah menggunakan khidmat orang ketiga untuk bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan peralihan kerajaan.

"Saya bersetuju dengan Abdullah bahawa memang tidak ada pertemuan dengan pihak ketiga secara langsung walaupun ada usaha daripada pelbagai pihak untuk memastikan pertemuan itu berhasil.

"Dengan ini saya memperbetulkan kekeliruan daripada kenyataan Ketua Penerangan PKR, Tian Chua yang dibuat baru-baru ini," katanya.

Anwar, bagaimanapun, tidak memohon maaf kerana membiarkan Tian Chua membuat dakwaan yang tidak benar itu kepada wartawan AFP.

Dalam perkembangan sama, Tian Chua hari ini mendakwa Anwar kini menumpukan usaha meyakinkan pemimpin Pas terutama Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meredakan kekhuatiran bahawa ahli-ahli Parlimen beragama Islam akan diketepikan jika pakatan pembangkang mengambil alih kerajaan.

“Kita perlu berbuat demikian sebelum meneruskan bentuk tindakan yang seterusnya,’’ katanya kepada Bernama tanpa mendedahkan bentuk tindakan itu.

Minggu lalu, Anwar mahukan jawapan daripada Perdana Menteri selewat-lewatnya hari ini untuk mengadakan sesi Parlimen tergempar dalam usaha membawa usul undi tidak percaya terhadap Abdullah.

Anwar mendakwa beliau mempunyai sokongan daripada 31 anggota Parlimen BN yang akan lompat parti, satu dakwaan yang menimbulkan kemarahan para pemimpin BN kerana ia dianggap suatu pembohongan Anwar untuk menjejaskan kestabilan politik negara .

Bagaimanapun, Abdullah menolak cadangan Anwar itu.

Sebelum itu, Anwar secara terbuka mengumumkan bahawa beliau akan mengambil alih kerajaan pada 16 September tetapi tarikh itu berlalu begitu sahaja kerana BN masih kekal memerintah negara.

Ini menyebabkan banyak pihak melabelkan Anwar sebagai pembohong.

Utusan

1 comment:

  1. Salam, apa ini Gila. Kalo budaya gini kembang terus nanti Gila jadi Ketua, tak mampu ngaku alah. Semua orang yang nentang di cop Gila.
    minta jauh.

    ReplyDelete