Friday, November 9, 2007

Tubuhkan Darul Quran di setiap negeri


09/11/2007

Tubuhkan Darul Quran di setiap negeri

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta menubuhkan Darul Quran di setiap negeri bagi melahirkan lebih ramai insan ulul albab di negara ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kubang Kerian, Anuar Safian berkata, dengan penubuhan lebih banyak pusat tersebut, hasrat Perdana Menteri untuk melihat lebih ramai insan ulul albab di negara ini akan dapat dicapai.

"Di Malaysia, terdapat 136 pusat tahfiz al-Quran, bagaimanapun hanya ada satu Darul Quran iaitu di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

"Satu Darul Quran sahaja tidak mencukupi untuk melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia yang tahfiz al-Quran’’ katanya yang merupakan pembahas terakhir usul agama dan sosial pada Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.

Anuar yang juga Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO negeri itu turut menyarankan agar kesemua pusat tahfiz al-Quran diletakkan di bawah Jakim bagi memudahkan kerajaan memantau dan menyelaraskan program di pusat tersebut.

"Buat masa ini, hanya Darul Quran sahaja diletakkan di bawah Jakim, manakala 15 lagi milik kerajaan negeri dan 120 pusat ditubuhkan oleh pihak swasta,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kesemua masjid besar di negara ini dijadikan pusat industri barangan halal.

Sebagai contoh, katanya, masjid-masjid tersebut boleh menyewakan stor-stor di situ kepada peniaga yang menjalankan perniagaan barangan halal.

"Kita boleh ambil contoh seperti apa yang dibuat di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur.

"Mereka telah menyewakan stor-stor yang ada kepada pengusaha barangan halal,’’ katanya.

Ia secara tidak langsung, kata beliau, memberi pendapatan tambahan kepada pihak masjid tanpa perlu mengutip derma daripada pelbagai pihak sekiranya mahu menjalankan sesuatu projek.

- Utusan

0 komentar:

Post a Comment