Friday, November 7, 2008

Pengumuman fatwa yoga ditunda


Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

PETALING JAYA: Pengumuman Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung status amalan senaman yoga yang dijadualkan hari ini telah ditunda kepada satu tarikh yang belum ditetapkan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, pengumuman itu terpaksa ditangguh disebabkan pengerusinya, Prof. Datuk Dr.Abdul Shukor Husin masih berada di luar negara.

"Kita akan tunda kepada satu tarikh yang dirasakan sesuai oleh pengerusi," katanya ketika dihubungi mStar Online, semalam.

Yoga menjadi isu hangat minggu lepas apabila pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), Prof Zakaria Stapa menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah.

Menurut Prof Zakaria, Yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu, menggabungkan unsur keagamaan dan penyembuhan jiwa.

"Mereka mengamalkan yoga kerana percaya boleh menyatukan mereka dengan tuhan," katanya.

Yoga, amalan kesihatan yang diperkenalkan sekitar 3,300 Sebelum Masihi, dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.

Sehubungan dengan itu, Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut telah membuat kenyataan senaman yoga perlu diharamkan kerana bercanggah dengan akidah, syariat serta akhlak Islam dan wajib ditinggalkan oleh individu yang sudah mengamalkannya serta segera bertaubat kepada Allah kerana sudah melakukan perkara yang salah di sisi Islam.

"Bukan saja pengamal yoga, malah pengusaha pusat kecergasan yang beragama Islam juga perlu menghentikan perkhidmatan senaman ini kerana ia bercanggah dengan Islam dan boleh memesongkan akidah.


"Keputusan mengharamkan senaman ini juga tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia bertujuan menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam," katanya seperti dipetik dari sebuah laporan akhbar, kelmarin.

Nooh berkata, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan kerajaan dinasihatkan supaya merujuk kepada pihak berkuasa agama lebih awal jika ingin menganjurkan acara menyerupai.

Sementara itu, Isnin lalu, Presiden Majlis Yoga Malaysia (MYS), M.Maniseekaran berkata pihaknya sedia menerima dengan terbuka keputusan Majlis Fatwa berhubung amalan yoga.

Jelas beliau, pihaknya bersedia bertemu dan berbincang dengan sesiapa sahaja untuk menerangkan bahawa secara asasnya yoga hanyalah sejenis senaman yang tidak melibatkan aktiviti berbentuk spritual mana-mana agama.

Majlis Fatwa keluarkan 150 Fatwa

Sehingga kini, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan kira-kira 150 fatwa meliputi pelbagai berkaitan hal ehwal agama Islam.

Sumber rujukan majlis fatwa adalah al-Quran,al-Sunnah,al-Ijmak, al-Qiyas dan ijtihad ahli Al-Fuqaha semasa.

Fatwa ialah keputusan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti dan telah diwartakan oleh kerajaan negeri bagi proses penguatkuasaan undang-undang.

Keputusan muktamad akan diputuskan mengikut mazhab Syafie dengan mengadakan penelitian terhadap dalil-dalil sedia ada serta implikasinya kepada masyarakat Islam.

Majlis fatwa diketuai oleh Pengerusinya, Dr. Abdul Shukor Husin bersama-sama 14 orang mufti dari setiap negeri di seluruh negara.

Sebelum sesuatu fatwa itu dikeluarkan majlis akan mengkaji dengan lebih mendalam tentang perkara tersebut sebelum ia dibentangkan di dalam jawatankuasa.

Jawatankuasa Fatwa berpegang kepada ahli Sunnah Wal Jammah dan mengikut kaedah fiqh Al-Aulawiyyat yang bermaksud meletakkan sesuatu pada kedudukannya dari segi hukum, niai mahupun pelaksanaannya. Mengikut kaedah tersebut sesuatu perkara yang diputuskan perlu diber keutamaan berdasarkan penilaian syariat dan akal.

Terbaru pada 23 Oktober lalu, Majlis Fatwa telah membuat ketetapan mengharamkan perbuatan wanita menyerupai lelaki sama ada dalam bentuk penampilan yang lebih dikenali sebagai 'pengkid'.

Sehingga kini majlis Fatwa juga telah mengeluarkan fatwa dalam pelbagai perkara meliputi akidah (19), zakat (18), ibadat(12), munakahat (14), ekonomi (18),perubatan (19), makan dan minum (9), pakaian (1), haiwan (10) dan sosial/syariah(30).

Antara fatwa-fatwa yang mendapat perhatian adalah fatwa berkaitan kumpulan al-Arqam, isu azan menggunakan pembesar suara, penceraian melalui sistem pesanan ringkas (SMS), perkahwinan menggunakan wali hakim dan wali tahkim, kahwin lari di Selatan Thai, bank air mani, pengguguran anak luar nikah, hukum lelaki memakai emas putih,post-mortem mayat, pembiakan dan pengklonan manusia, harta sepencarian dan lain-lain.


0 komentar:

Post a Comment