Thursday, September 11, 2008

Kejar Sampai Lubang Cacing


Pelan sasaran dilewatkan, empat pemimpin PKR mula 'buru' MP BN di Taiwan
12-09-2008 12:25:08 AM
Oleh G. MANIMARAN, ARIFFUDDIN ISHAK dan ZANARIAH ABD. MUTALIB

(Dikemas kini)PETALING JAYA: Usaha Pakatan Rakyat 'memburu' ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) supaya melompat parti bagi membentuk kerajaan baru persekutuan menjelang Selasa ini, kini merentasi Laut China Selatan.

Hari ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR), salah satu komponen Pakatan Rakyat, akan menghantar empat pemimpinnya ke Taiwan bagi menemui ahli-ahli Parlimen BN di sana.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Strategi PKR, Saifuddin Nasution ketika dihubungi mStar Online.
Mereka dijadual berlepas ke Taiwan 2 petang ini (Jumaat) dan akan tinggal di hotel yang didiami ahli-ahli Parlimen BN.

Saifuddin bersama Ketua Penerangannya, Tian Chua dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh serta Ahli Majlis Tertinggi. Low Chee Chong akan berlepas ke Taiwan bagi meneruskan misi mereka.

"Ya memang betul kami akan ke sana (Taiwan) esok (Jumaat). Ramai kawan saya ada di sana sekarang dan saya hendak bertemu dengan mereka, tugasan saya ialah menemui mereka... misi tugasan saya khusus," kata Saifuddin yang juga anggota Dewan Rakyat.

Saifuddin menambah, beliau telah diarahkan oleh kepimpinan parti petang semalam untuk menjayakan misi berkenaan.

"Berapa lama dan berapa ramai saya akan temui di Taiwan masih terbuka," kata beliau sambil menambah, format dan tujuan pertemuan sama seperti pertemuan-pertemuan sebelum ini antara PKR dan pemimpin-pemimpin dan Ahli Parlimen BN di Hong Kong, Singapura dan Indonesia.

Beliau enggan menyatakan jumlah Ahli Parlimen BN yang akan ditemui di Taiwan.


0 komentar:

Post a Comment