Friday, May 1, 2009

Presiden Dan Timbalan Presiden PAS Perlu Kalangan Ulama


KUALA KRAI, 30 April (Bernama) -- Presiden dan Timbalan Presiden dalam PAS perlu dipilih daripada kalangan ulama demi masa depan parti itu, kata Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Mohamad Daud.

"Kita mahu jawatan nombor satu dan dua dalam PAS kekal disandang oleh kalangan ulama," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai pencalonan beberapa pemimpin tertinggi PAS menjelang muktamar agung itu dan lebih menarik tawaran beberapa pemimpin bukan kalangan ulama menawarkan diri bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.

Antara mereka yang menawarkan diri untuk jawatan itu adalah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Mohamad Sabu, Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.

Mohamad berkata jika kedua-dua jawatan itu tidak diberikan kepada pemimpin bertaraf ulama, beliau khuatir keadaan itu akan merosakkan PAS pada masa depan.

Justeru, beliau tetap mempertahan kepimpinan ulama dalam barisan kepimpinan PAS pada pemilihan di muktamar agung parti itu di Shah Alam, Selangor, Jun ini.

Ditanya mengenai saf kepimpinan yang ada sekarang, Mohamad berkata kedudukan itu wajar dikekalkan tetapi bagi jawatan Naib Presiden dan seterusnya boleh diserahkan kepada pemimpin daripada kalangan profesional atau ulama.

"Tak perlu pertikailah untuk jawatan lain itu. Jawatan lain tidak penting, kecuali untuk nombor satu dan dua," katanya.



-- BERNAMA Read More ..

Monday, April 27, 2009

Syarat PAS terima k'jaan perpaduan
















Syarat PAS terima k'jaan perpaduan
Abdul Rahim Sabri | Apr 27, 09 1:43pm
Malaysiakini

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat bersedia menerima kerajaan perpaduan dengan syarat BN bersedia memberi jawatan-jawatan penting untuk diterajui parti itu, seperti menteri kewangan dan menteri pendidikan.

“Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan-jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya.

"Berikan kementerian kewangan dan kementerian pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM (perdana menteri) mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama,” menteri besar Kelantan dipetik berkata dalam blog anaknya Nik Abduh.

Dalam blognya itu, Nik Abduh yang juga timbalan ketua pemuda PAS negeri juga menghentam pembantu-pembantu bapanya yang didakwanya bertanggungjawab menyebabkan Nik Aziz pada mulanya menolak cadangan kerajaan perpaduan itu yang dibuat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kerajaan perpaduan yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu-pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga-lagakan antara TGNA (Tuan Guru Nik Aziz) dan TGHH (Tuan Guru Haji Hadi)," tulis Nik Abduh.

nik mohd abduh nik azizBagaimanapun, tulisnya, selepas diadakan "pertemuan kurang sepuluh mata" bersama presiden PAS, Nik Aziz tidak lagi menyerang isu tersebut.

"Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada TGHH. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya (Nik Aziz)," tulis Nik Abduh.

Menurutnya lagi, 'modus operandi yang sama pernah digunakan oleh pembantu bapanya itu berhubung isu muzakarah atau muqabalah dengan Umno sebelum ini.

"(Bagaimanapun), selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 (kediaman rasmi menteri besar Kelantan) beberapa bulan lalu, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya.

"Saya diberitahu dari sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH," tulisnya.

Nik Abduh juga menyifatkan pembantu-pembantu bapanya sebagai "mereka yang hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa diri mereka pun ulama juga". Read More ..

Thursday, April 23, 2009

Kerajaan Perpaduan(Unity Government)


Kita baru-baru ini dikejutkan oleh cadangan DS Presiden PAS supaya difikirkan penyelesaian melalui ‘Unity Government’ atau Kerajaan Perpaduan. Oleh kerana konsep Kerajaan Perpaduan ini adalah satu konsep yang baru, maka ramai yang tidak begitu jelas dengan apa yang dimaksudkan. Ada yang menganggap ianya sebagai pergabungan di antara PAS dan UMNO atau PAS dan BN.

Walaubagaimanapun, apa yang saya faham sebagai maksud DS Presiden ialah kerajaan gabungan di antara BN dan PR. Gabungan ini akan menjadikan semua pihak sebahagian dari kerajaan yang memerintah dan tiada pembangkang buat seketika. Dengan itu persengketaan dapat dielak dan semua boleh tumpu kepada persoalan menghadapi dan mengatasi kegawatan ekonomi yang sedang menimpa.

Cadangan ini dikemukakan hasil dari suasana politik yang semakin tegang dan kegawatan ekonomi yang sedang menimpa. DS Presiden khuatir persengketaan politik yang sedang dialami sekarang ini, disebabkan persaingan yang begitu sengit di antara PR dan BN akan menyebabkan ketegangan semakin meruncing sehingga menjerumuskan negara ini ke dalam suatu suasana yang tidak terkawal. Politik perkauman berserta pendekatan pihak berkuasa secara kuku besi akan menyebabkan pertelagahan yang tiada kesudahan sehingga masalah kegawatan ekonomi tidak terurus. Ini akan menyebabkan semua pihak, bukan sekadar parti-parti politik tetapi juga rakyat jelata mengalami kerugian yang amat besar.

Konsep ‘kerajaan perpaduan’ ini menuntut supaya BN berkongsi kuasa dengan PR di peringkat pusat, khususunya. Setiap kementerian mesti dikuasai bersama dan dasar-dasar perlu ditentukan secara konsensus. Ianya bukan satu keadaan di mana PR duduk di bawah penguasaan BN tetapi setaraf dengannya sebagai rakan kongsi. Parti-parti komponen PR tidak menyertai BN tetapi kekal dalam PR; dan PR yang ‘bergabung’ dengan BN.

Untuk cadangan ini berjaya, semua pihak yang terlibat mesti sanggup mementingkan negara lebih dari kepentingan parti atau diri sendiri. Secara umumnya ia satu cadangan yang baik, sekiranya syarat-syarat ini dapat dipenuhi. Malangnya BN masih lagi istiqamah dengan budaya politik pengautan kekayaannya dan adalah amat sukar untuk saya membayangkan BN akan bersetuju.

Mereka tidak mungkin sanggup berkongsi kuasa dengan PR sedangkan mereka masih menganggap mereka mampu kekal berkuasa sepenuhnya secara bersendirian. Kedua, mereka tidak pernah mampu meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan diri dan parti mereka. Lihat sahaja rompakan kuasa yang mereka lakukan di Perak. Ketiga, mereka juga menyedari bahawa sekiranya mereka membenarkan PR memerintah bersama, PR akan tambah berpengaruh dan semakin diterima rakyat. Pendedahan rakyat kepada kemampuan PR akan menyebabkan kuasa akan hilang dari genggaman mereka sedikit demi sedikit.

Walaupun ide ini merupakan penyelesaian yang paling ‘ideal’ untuk Negara kita buat ketika ini, di mana kita boleh elak daripada satu suasana persengketaan yang mampu memusnahkan segala-galanya, tetapi pepatah Melayu ada berkata ‘Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi’. Namun, kita boleh mencadangkan dan kita lihat bersama. Mana tahu, mungkin mereka juga sudah serik dengan suasana ini dan akan membuang jenis pemimpin yang mementingkan diri. Tanpa pemimpin yang sebegini mereka akan mula menyedari betapa baiknya cadangan ini.

Sehingga keadaan itu berlaku dan hari bertuah itu tiba, kita tingkatkan azam kita bersama, sengsingkan lengan dan terus berusaha kearah kejatuhan kerajaan BN. Bermula di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, menuju ke Batang Ai.
----artikel asal
Read More ..

Friday, April 17, 2009

Zambry dan enam Adun BN tidak boleh hadiri sidang Dun Perak




















Mohamed Hanipa Maidin
HarakahDaily Fri | Apr 17, 09 | 10:14:14 pm MYT

Saya sedar ramai yang ingin tahu kesan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu yang memutuskan bahawa keputusan V.Sivakumar, Speaker Perak menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya hadir di Dun Perak selama 18 bulan dan 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.
Ramai yang bertanya saya adakah keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam exconya kini boleh menghadiri sidang Dun Perak?

Jika kita melihat kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar pro-Umno seperti Utusan Malaysia (17.4.2009) mereka dengan tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa Zambry dan enam exconya kini dibenarkan menghadiri sidang Dun Perak yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.

Sebagai salah seorang peguam yang terlibat dalam kes tersebut, saya menasihati rakyat agar tidak terkeliru dengan kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar Umno tersebut. Banyak yang mereka sembunyikan dan tidak jelaskan tentang apa yang sebenarnya berlaku di Mahkamah Persekutuan pada tarikh tersebut.

Marilah kita mulakan dengan melihat apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya di dalam saman yang mereka kemukakan ke atas Sivakumar di Mahkamah Tinggi dan kemudiannya didengar di Mahkamah Persekutuan.

Sebenarnya Zambry telah memohon sepuluh (10) perintah Mahkamah dan dari sepuluh perintah tersebut Mahkamah hanya membenarkan dua (2) perintah sahaja. Dua perintah yang dibenarkan oleh Mahkamah adalah seperti berikut:

Pertama, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang Zambry hadir di Dun Perak selama 18 bulan.

Kedua, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang enam exco Zambry untuk hadir di Dun Perak selama 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.

Lapan permohonan Zambry tidak dilulus Mahkamah

Itu sahaja dua perintah yang Mahkamah Persekutuan benarkan pada 16 April lalu. Tidak lebih dari itu. Apa sahaja kenyataan dari peguam Umno selain dari dua perintah tersebut bukanlah perintah Mahkamah sebaliknya adalah kenyataan mereka yang tidak berasas.

Memandangkan Mahkamah Persekutuan hanya membenarkan dua perintah di atas, adalah jelas Mahkamah tidak membenarkan lapan (8) perintah lain yang juga dipohon oleh Umno dan dihujahkan oleh para peguam Zambry dan pasukan peguam Sivakumar.

Apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya tetapi tidak dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan? Mari sama-sama kita saksikan lapan perintah yang TIDAK DIBENARKAN tersebut.

Meskipun peguam Umno berhempas pulas dan bermati-matian berhujah, Mahkamah Persekutuan TIDAK MEMBENARKAN perintah-perintah berikut:

1. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar (defendan pertama di dalam kes tersebut) menggantung dan melarang Plaintif Pertama (Zambry) menghadiri pada sidang Dun selama 18 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

2. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry menghadiri sidang DUN selama 18 bulan adalah menyalahi undang-undang.

3. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Plaintif ke-2 hingga Plaintif ke-7 (enam Exco) menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

4. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang enam Exco menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah menyalahi undang-undang.

5. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Zambry dan enam Exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka di dalamnya.

6. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya menghadiri sidang Dun Perak.

7. Perintah untuk mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan apa-apa arahan, perintah dan/atau petunjuk Sivakumar yang berbangkit daripada atau berhubung dengan keputusan Sivakumar yang bertarikh 18.2.2009.

8. Perintah-perintah, perisytiharan dan/atau relif lain yang difikir suaimanfaat oleh Mahkamah.

Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini bahawa lapan perintah di atas yang Zambry dan enam exconya pohon TIDAK DIBENARKAN oleh Mahkamah Persekutuan.

Atas dasar itu jika peguam Umno atau akhbar pro-Umno mengatakan bahawa Zambry dan enam exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak, jelas kenyataan itu bukan datang dari mana-mana perintah Mahkamah sebaliknya ianya hanya kenyataan tidak berasas dari peguam Umno dan akhbar mereka.

Kenyataan tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi undang-undang. Rakyat tidak perlu melayan kata-kata mereka yang dibuai khayalan tersebut.

Bagaimanakah Umno boleh mengatakan keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam Exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak sedangkan Mahkamah dengan secara jelas tidak membenarkan perintah yang mereka pohon iaitu perintah bahawa Zambry dan enam exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka dalamnya.

Kalau perintah tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan barulah mereka boleh mengatakan Zambry dan enam exconya boleh ke sidang Dun Perak.

Saya harap penjelasan di atas sedikit sebanyak dapat menjelaskan bahawa apa yang Umno kata di media massa adalah tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku.

Sivakumar masih Speaker dan beliau masih berbisa. Jika Umno terus mengeluarkan kenyataan mengelirukan tidak mustahil mereka mungkin akan dipatuk oleh Sivakumar dan saya percaya patukan selepas ini akan membuat Umno menderita lebih panjang.

Saya juga ingin tegaskan di sini apabila Zambry dan enam exconya membawa kes mereka di Mahkamah dengan mencabar keputusan Sivakumar sebagai Speaker yang sah, mereka mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan satu kesalahan kerana mendedahkan dokumen-dokumen rasmi Dun Perak tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Sivakumar sebagai Speaker.

Marilah kita sama-sama tunggu dan lihat apakah yang berlaku selepas ini.

Nota: Penulis ialah Pengerusi Lajnah Undang-undang dan hak Asasi Manusia PAS Pusat.- tajdid_
Read More ..

Tuesday, April 14, 2009

Salahkah Orang Kafir Baca Quran?

PARA pemuka Islam kini kalut membuat laporan polis terhadap Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming (foto) kerana Kor Ming membaca sepotong ayat Quran dalam ceramahnya. Cara Kor Ming membaca ayat Quran itu dikatakan telah menghina dan mempersendakan kitab suci Islam itu.(Lihat klip Us.Azhar berkaitan)


Mufti Perak, Harunssani Zakaria juga turut sama bangkit mengecam dengan bertanya apa hak Kor Ming membaca ayat Quran kerana dia (Kor Ming) tidak beriman kepada Islam?

Kenyataan dan pertanyaan Harussani itu mengejutkan! Apakah orang kafir tidak boleh membaca ayat Quran? Begitu sekali kerasnya Islam sampai melarang orang bukan Islam daripada membaca kitab suci itu.

Dalam hal ini saya merasa aneh dengan tingkah laku umat Islam negara ini yang begitu sensitif bila menyentuh soal agama. Sensitif yang berlaku itu pula tidak kena pada tempatnya. Macam mana orang bukan Islam hendak mengetahui keistimewaan Quran dan mukjizat Nabi Muhammad s.a.w. itu kalau mereka tidak boleh membaca ayat al-Quran?

Tidak ada pula didalam Quran ayat-ayat menjelaskan Quran tidak boleh dibaca oleh bukan Islam. Yang ada ialah ayat-ayat Quran yang mencela mereka yang tidak beriman dengan al-Quran. Tidak ada juga ayat yang melarang orang kafir daripada menyentuh al-Quran?

Dalam hal ini siapakah yang tidak beriman dengan al-Quran? Saya rasa bukan saja Kor Ming tetapi orang Islam (Melayu) juga tidak beriman dan yakin dengan Quran dan sunnah.

Tidak beriman dan yakin dengan Quran ialah tidak mengambil ayat-ayat Quran sebagai panduan dalam memerintah negara. Demikian juga mereka yang menghina janggut nabi juga manusia yang mempersendakan Rasulullah.

Dalam kes Kor Ming ini saya tidak nampak yang Setiausaha DAP Perak itu mencela dan menghina al-Quran. Seharusnya umat Islam dan para pemuka Islam memuji langkah Kor Ming itu dan merasa bangga sebab Kor Ming merujuk kepada Quran. Beliau tidak merujuk kepada Bible, Taurat atau pun Zabur untuk menguatkan hujahnya. Tetapi dia rujuk kepada Quran. Itu merupakan satu keistimewaan kepada Islam.

Umat Islam negara ini khasnya mereka yang mempertikaikan tindakan Kor Ming itu saya rasa tidak luas pengetahuannya dalam ilmu agamanya. Mereka tidak sampai mencecah ilmu syariat, tariqat, hakikat dan marifat. Mereka lebih terkongkong dengan ideologi politik partisan.

Di Kelantan orang Cina membaca ayat Quran dalam ceramah politiknya sesuatu yang tidak pelik dan asing. Tahun-tahun 70-an Pengerusi MCA Kelantan, Foo Chow Yong sering kali membaca ayat Quran dalam ceramah-ceramahnya dan juga ucapan rasmi sebagai Exco Kerajaan Kelantan.
Saya masih ingat ayat yang menjadi kesukaanaya ialah ayat dalam surah Al-Imran: 103 yang bermaksud; Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah nikmat Allah kepadamu.”

Chow Yong membaca ayat itu menyeru orang supaya bersatu padu dan tidak berpecah belah. Seruan supaya berpadu adalah ajaran Islam. Maksud dan tujuannya samalah dengan ayat yang dibaca oleh Kor Ming itu yang bermaksud hendaklah kamu (pemerintah) berlaku adil sesama insan (manusia).

Kalaulah Kor Ming tersalah quote, kenapa perlu membuat laporan polis. Sepatutnya kesalahan itu ditegur dengan baik dan penuh hikmah. Shabul Samaah Mufti Perak, Harussani sepatutnya memanggil dan mengajar Kor Ming dengan bacaan yang betul dan benar. Beliau bukannya melenting dan menunjukkan sikap perang dengan bukan Islam.

Di Kelantan bila Chow Yong baca ayat Quran umat Islam tidak melatah. Tidak ada ustaz, atau pun tok iman dan NGO Islam yang membuat laporan polis mendakwa dia mempersendakan Islam. Ini menunjukkan rakyat Kelantan faham mengenai hal itu dan tidak mudah memandang serong kepada orang bukan Islam yang membaca ayat-ayat Quran.

Sepatutnya umat Islam di Perak dan juga mereka yang mempertikaikan tindakan Kor Ming itu belajar dan mengambil iktibar apa yang dilakukan oleh rakyat Kelantan.

Sikap dan ketinggian kefahaman mengenai Islam itu nampaknya masih diteruskan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Nik Aziz bila ditanya mengenai Kor Ming itu tidak melenting dan melihatnya penuh bijaskana. Katanya, “sepatutnya Kor Ming lama dah membaca al-Quran dan tindakan beliau itu hasil dakwah Pas.”

Mufti Kelantan juga ketika itu Allahyarham, Datuk Haji Mohamad Noor, tidak pun menegur tindakan Foo Chow Yong itu. Apakah dalam soal ini, Mufti Perak Harussani merujuk kitab berlainan dengan kitab yang rujuk oleh Mufti Datuk Haji Mohammad Noor, Mufti Kelantan dalam melihat kes Foo Chow Yong itu?

Cara pemuka Islam yang membuat laporan polis dan Mufti Perak menegur Kor Ming itu ia menyebabkan orang bukan Islam jadi semakin takut dan gerun untuk mendekati Islam. Bagi saya tindakan dilakukan oleh umat Islam yang bertujuan menyokong UBN itu tidak bersifat fatah dan berfahaman sempit.

http://msomelayu.blogspot.com/ Read More ..

Friday, April 10, 2009

Nik Aziz suka Nga kenali Islam



Apr 10, 09 2:50pm
Mursyidul am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan exco kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, Nga Kor Ming membaca ayat al-Quran semasa berceramah dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang minggu lalu sebagai percubaan mengenali Islam melalui pembacaan kitab suci itu.

Sehubungan itu, kata menteri besar Kelantan, beliau terharu dengan keluhan Nga yang juga ahli parlimen Taiping dan ADUN Pantai Remis, yang amat kesal "kerana apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang".

bukit gantang by election nga kor ming dap ceramah 310309 01Sebelum ini beberapa laporan polis dibuat terhadap Nga, termasuk Badan Bertindak Perpaduan Melayu, kerana didakwa mempersendakan Islam apabila setiausaha DAP Perak itu menggunakan ayat al-Quran dalam ceramahnya sewaktu kempen dalam pilihanraya kecil kerusi parlimen tersebut.

Dalam laporannya itu, presiden NGO Osman Abu Bakar mendakwa Nga mempersendakan Islam dengan menyebut ayat al-Quran daripada surah Al-A'raf untuk tujuan kempen dan menyebut kalimah tersebut secara tidak betul.

Beliau mendakwa Nga menyebut Surah Al-A'raf sebagai Al-Aurah dalam ceramah tersebut.

"Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati Yang Berhormat (Nga)," tegas Nik Aziz dalam surat terbukanya berhubung isu tersebut.

"Mudah-mudahan dengan sikap 'tidak mesra Umno' dan pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran bukan Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas," tambahnya.

Nik Aziz juga berkata beliau mempunyai impian bahawa dalam tempoh tidak berapa lama lagi.

"Mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi qari, ustaz, khatib dan imam di seluruh negara," tegasnya.

Menurutnya, Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul memusnahkan tamadun Islam di Kota Baghdad tetapi kerosakan tersebut sempat ditebus semula melalui cucunya Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya.

Maka Nik Aziz mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara ini melalui kaedah dan insiden yang hampir sama.

'Mudah-mudahan YB-lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

"Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana.

"Tajuk-tajuk seperti 'di mana tak kenanya Islam' atau 'apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam' bolehlah difikirkan," katanya.

Manakala anggota panel, tambahnya, boleh dipilih daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan juga pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas.

"Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid, surau, kuil, dewan-dewan perhimpunan, di universiti- universiti, baik di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) atau institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB (Nga). Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini.

"Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana," tambah tokoh PAS itu.

Malaysiakini
Read More ..

Wednesday, April 1, 2009