Friday, April 17, 2009

Zambry dan enam Adun BN tidak boleh hadiri sidang Dun Perak




















Mohamed Hanipa Maidin
HarakahDaily Fri | Apr 17, 09 | 10:14:14 pm MYT

Saya sedar ramai yang ingin tahu kesan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu yang memutuskan bahawa keputusan V.Sivakumar, Speaker Perak menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya hadir di Dun Perak selama 18 bulan dan 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.
Ramai yang bertanya saya adakah keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam exconya kini boleh menghadiri sidang Dun Perak?

Jika kita melihat kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar pro-Umno seperti Utusan Malaysia (17.4.2009) mereka dengan tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa Zambry dan enam exconya kini dibenarkan menghadiri sidang Dun Perak yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.

Sebagai salah seorang peguam yang terlibat dalam kes tersebut, saya menasihati rakyat agar tidak terkeliru dengan kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar Umno tersebut. Banyak yang mereka sembunyikan dan tidak jelaskan tentang apa yang sebenarnya berlaku di Mahkamah Persekutuan pada tarikh tersebut.

Marilah kita mulakan dengan melihat apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya di dalam saman yang mereka kemukakan ke atas Sivakumar di Mahkamah Tinggi dan kemudiannya didengar di Mahkamah Persekutuan.

Sebenarnya Zambry telah memohon sepuluh (10) perintah Mahkamah dan dari sepuluh perintah tersebut Mahkamah hanya membenarkan dua (2) perintah sahaja. Dua perintah yang dibenarkan oleh Mahkamah adalah seperti berikut:

Pertama, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang Zambry hadir di Dun Perak selama 18 bulan.

Kedua, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang enam exco Zambry untuk hadir di Dun Perak selama 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.

Lapan permohonan Zambry tidak dilulus Mahkamah

Itu sahaja dua perintah yang Mahkamah Persekutuan benarkan pada 16 April lalu. Tidak lebih dari itu. Apa sahaja kenyataan dari peguam Umno selain dari dua perintah tersebut bukanlah perintah Mahkamah sebaliknya adalah kenyataan mereka yang tidak berasas.

Memandangkan Mahkamah Persekutuan hanya membenarkan dua perintah di atas, adalah jelas Mahkamah tidak membenarkan lapan (8) perintah lain yang juga dipohon oleh Umno dan dihujahkan oleh para peguam Zambry dan pasukan peguam Sivakumar.

Apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya tetapi tidak dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan? Mari sama-sama kita saksikan lapan perintah yang TIDAK DIBENARKAN tersebut.

Meskipun peguam Umno berhempas pulas dan bermati-matian berhujah, Mahkamah Persekutuan TIDAK MEMBENARKAN perintah-perintah berikut:

1. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar (defendan pertama di dalam kes tersebut) menggantung dan melarang Plaintif Pertama (Zambry) menghadiri pada sidang Dun selama 18 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

2. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry menghadiri sidang DUN selama 18 bulan adalah menyalahi undang-undang.

3. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Plaintif ke-2 hingga Plaintif ke-7 (enam Exco) menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

4. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang enam Exco menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah menyalahi undang-undang.

5. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Zambry dan enam Exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka di dalamnya.

6. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya menghadiri sidang Dun Perak.

7. Perintah untuk mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan apa-apa arahan, perintah dan/atau petunjuk Sivakumar yang berbangkit daripada atau berhubung dengan keputusan Sivakumar yang bertarikh 18.2.2009.

8. Perintah-perintah, perisytiharan dan/atau relif lain yang difikir suaimanfaat oleh Mahkamah.

Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini bahawa lapan perintah di atas yang Zambry dan enam exconya pohon TIDAK DIBENARKAN oleh Mahkamah Persekutuan.

Atas dasar itu jika peguam Umno atau akhbar pro-Umno mengatakan bahawa Zambry dan enam exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak, jelas kenyataan itu bukan datang dari mana-mana perintah Mahkamah sebaliknya ianya hanya kenyataan tidak berasas dari peguam Umno dan akhbar mereka.

Kenyataan tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi undang-undang. Rakyat tidak perlu melayan kata-kata mereka yang dibuai khayalan tersebut.

Bagaimanakah Umno boleh mengatakan keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam Exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak sedangkan Mahkamah dengan secara jelas tidak membenarkan perintah yang mereka pohon iaitu perintah bahawa Zambry dan enam exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka dalamnya.

Kalau perintah tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan barulah mereka boleh mengatakan Zambry dan enam exconya boleh ke sidang Dun Perak.

Saya harap penjelasan di atas sedikit sebanyak dapat menjelaskan bahawa apa yang Umno kata di media massa adalah tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku.

Sivakumar masih Speaker dan beliau masih berbisa. Jika Umno terus mengeluarkan kenyataan mengelirukan tidak mustahil mereka mungkin akan dipatuk oleh Sivakumar dan saya percaya patukan selepas ini akan membuat Umno menderita lebih panjang.

Saya juga ingin tegaskan di sini apabila Zambry dan enam exconya membawa kes mereka di Mahkamah dengan mencabar keputusan Sivakumar sebagai Speaker yang sah, mereka mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan satu kesalahan kerana mendedahkan dokumen-dokumen rasmi Dun Perak tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Sivakumar sebagai Speaker.

Marilah kita sama-sama tunggu dan lihat apakah yang berlaku selepas ini.

Nota: Penulis ialah Pengerusi Lajnah Undang-undang dan hak Asasi Manusia PAS Pusat.- tajdid_
Read More ..

Tuesday, April 14, 2009

Salahkah Orang Kafir Baca Quran?

PARA pemuka Islam kini kalut membuat laporan polis terhadap Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming (foto) kerana Kor Ming membaca sepotong ayat Quran dalam ceramahnya. Cara Kor Ming membaca ayat Quran itu dikatakan telah menghina dan mempersendakan kitab suci Islam itu.(Lihat klip Us.Azhar berkaitan)


Mufti Perak, Harunssani Zakaria juga turut sama bangkit mengecam dengan bertanya apa hak Kor Ming membaca ayat Quran kerana dia (Kor Ming) tidak beriman kepada Islam?

Kenyataan dan pertanyaan Harussani itu mengejutkan! Apakah orang kafir tidak boleh membaca ayat Quran? Begitu sekali kerasnya Islam sampai melarang orang bukan Islam daripada membaca kitab suci itu.

Dalam hal ini saya merasa aneh dengan tingkah laku umat Islam negara ini yang begitu sensitif bila menyentuh soal agama. Sensitif yang berlaku itu pula tidak kena pada tempatnya. Macam mana orang bukan Islam hendak mengetahui keistimewaan Quran dan mukjizat Nabi Muhammad s.a.w. itu kalau mereka tidak boleh membaca ayat al-Quran?

Tidak ada pula didalam Quran ayat-ayat menjelaskan Quran tidak boleh dibaca oleh bukan Islam. Yang ada ialah ayat-ayat Quran yang mencela mereka yang tidak beriman dengan al-Quran. Tidak ada juga ayat yang melarang orang kafir daripada menyentuh al-Quran?

Dalam hal ini siapakah yang tidak beriman dengan al-Quran? Saya rasa bukan saja Kor Ming tetapi orang Islam (Melayu) juga tidak beriman dan yakin dengan Quran dan sunnah.

Tidak beriman dan yakin dengan Quran ialah tidak mengambil ayat-ayat Quran sebagai panduan dalam memerintah negara. Demikian juga mereka yang menghina janggut nabi juga manusia yang mempersendakan Rasulullah.

Dalam kes Kor Ming ini saya tidak nampak yang Setiausaha DAP Perak itu mencela dan menghina al-Quran. Seharusnya umat Islam dan para pemuka Islam memuji langkah Kor Ming itu dan merasa bangga sebab Kor Ming merujuk kepada Quran. Beliau tidak merujuk kepada Bible, Taurat atau pun Zabur untuk menguatkan hujahnya. Tetapi dia rujuk kepada Quran. Itu merupakan satu keistimewaan kepada Islam.

Umat Islam negara ini khasnya mereka yang mempertikaikan tindakan Kor Ming itu saya rasa tidak luas pengetahuannya dalam ilmu agamanya. Mereka tidak sampai mencecah ilmu syariat, tariqat, hakikat dan marifat. Mereka lebih terkongkong dengan ideologi politik partisan.

Di Kelantan orang Cina membaca ayat Quran dalam ceramah politiknya sesuatu yang tidak pelik dan asing. Tahun-tahun 70-an Pengerusi MCA Kelantan, Foo Chow Yong sering kali membaca ayat Quran dalam ceramah-ceramahnya dan juga ucapan rasmi sebagai Exco Kerajaan Kelantan.
Saya masih ingat ayat yang menjadi kesukaanaya ialah ayat dalam surah Al-Imran: 103 yang bermaksud; Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah nikmat Allah kepadamu.”

Chow Yong membaca ayat itu menyeru orang supaya bersatu padu dan tidak berpecah belah. Seruan supaya berpadu adalah ajaran Islam. Maksud dan tujuannya samalah dengan ayat yang dibaca oleh Kor Ming itu yang bermaksud hendaklah kamu (pemerintah) berlaku adil sesama insan (manusia).

Kalaulah Kor Ming tersalah quote, kenapa perlu membuat laporan polis. Sepatutnya kesalahan itu ditegur dengan baik dan penuh hikmah. Shabul Samaah Mufti Perak, Harussani sepatutnya memanggil dan mengajar Kor Ming dengan bacaan yang betul dan benar. Beliau bukannya melenting dan menunjukkan sikap perang dengan bukan Islam.

Di Kelantan bila Chow Yong baca ayat Quran umat Islam tidak melatah. Tidak ada ustaz, atau pun tok iman dan NGO Islam yang membuat laporan polis mendakwa dia mempersendakan Islam. Ini menunjukkan rakyat Kelantan faham mengenai hal itu dan tidak mudah memandang serong kepada orang bukan Islam yang membaca ayat-ayat Quran.

Sepatutnya umat Islam di Perak dan juga mereka yang mempertikaikan tindakan Kor Ming itu belajar dan mengambil iktibar apa yang dilakukan oleh rakyat Kelantan.

Sikap dan ketinggian kefahaman mengenai Islam itu nampaknya masih diteruskan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Nik Aziz bila ditanya mengenai Kor Ming itu tidak melenting dan melihatnya penuh bijaskana. Katanya, “sepatutnya Kor Ming lama dah membaca al-Quran dan tindakan beliau itu hasil dakwah Pas.”

Mufti Kelantan juga ketika itu Allahyarham, Datuk Haji Mohamad Noor, tidak pun menegur tindakan Foo Chow Yong itu. Apakah dalam soal ini, Mufti Perak Harussani merujuk kitab berlainan dengan kitab yang rujuk oleh Mufti Datuk Haji Mohammad Noor, Mufti Kelantan dalam melihat kes Foo Chow Yong itu?

Cara pemuka Islam yang membuat laporan polis dan Mufti Perak menegur Kor Ming itu ia menyebabkan orang bukan Islam jadi semakin takut dan gerun untuk mendekati Islam. Bagi saya tindakan dilakukan oleh umat Islam yang bertujuan menyokong UBN itu tidak bersifat fatah dan berfahaman sempit.

http://msomelayu.blogspot.com/ Read More ..

Friday, April 10, 2009

Nik Aziz suka Nga kenali Islam



Apr 10, 09 2:50pm
Mursyidul am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan exco kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, Nga Kor Ming membaca ayat al-Quran semasa berceramah dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang minggu lalu sebagai percubaan mengenali Islam melalui pembacaan kitab suci itu.

Sehubungan itu, kata menteri besar Kelantan, beliau terharu dengan keluhan Nga yang juga ahli parlimen Taiping dan ADUN Pantai Remis, yang amat kesal "kerana apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang".

bukit gantang by election nga kor ming dap ceramah 310309 01Sebelum ini beberapa laporan polis dibuat terhadap Nga, termasuk Badan Bertindak Perpaduan Melayu, kerana didakwa mempersendakan Islam apabila setiausaha DAP Perak itu menggunakan ayat al-Quran dalam ceramahnya sewaktu kempen dalam pilihanraya kecil kerusi parlimen tersebut.

Dalam laporannya itu, presiden NGO Osman Abu Bakar mendakwa Nga mempersendakan Islam dengan menyebut ayat al-Quran daripada surah Al-A'raf untuk tujuan kempen dan menyebut kalimah tersebut secara tidak betul.

Beliau mendakwa Nga menyebut Surah Al-A'raf sebagai Al-Aurah dalam ceramah tersebut.

"Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati Yang Berhormat (Nga)," tegas Nik Aziz dalam surat terbukanya berhubung isu tersebut.

"Mudah-mudahan dengan sikap 'tidak mesra Umno' dan pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran bukan Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas," tambahnya.

Nik Aziz juga berkata beliau mempunyai impian bahawa dalam tempoh tidak berapa lama lagi.

"Mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi qari, ustaz, khatib dan imam di seluruh negara," tegasnya.

Menurutnya, Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul memusnahkan tamadun Islam di Kota Baghdad tetapi kerosakan tersebut sempat ditebus semula melalui cucunya Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya.

Maka Nik Aziz mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara ini melalui kaedah dan insiden yang hampir sama.

'Mudah-mudahan YB-lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

"Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana.

"Tajuk-tajuk seperti 'di mana tak kenanya Islam' atau 'apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam' bolehlah difikirkan," katanya.

Manakala anggota panel, tambahnya, boleh dipilih daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan juga pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas.

"Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid, surau, kuil, dewan-dewan perhimpunan, di universiti- universiti, baik di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) atau institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB (Nga). Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini.

"Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana," tambah tokoh PAS itu.

Malaysiakini
Read More ..

Wednesday, April 1, 2009

Tuesday, March 31, 2009

Friday, March 13, 2009

Rundingan Abdullah - Anwar?




Oleh Mohd Sayuti Omar
TIGA jam sebelum Menteri Kewangan, Mohd Najib Razak membentangkan bajet mininya di Parlimen jam 4.00 petang, berlangsung satu peristiwa diluar jangka yang penuh tandatanya, iaini Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi duduk serumah dan makan tengah hari bersama Anwar Ibrahim.

Peristiwa bersejarah ini berlaku di Madrasah Nurul Iman, Hulu Langat, Selangor. Abdullah dan Anwar sama-sama hadir pada majlis sambutan Maulid Rasul dan Sambutan Tamat Latihan Kerohanian 40 tahun Syeikh Mahmud Al-Majzub, dan menjadi tetamu kehormat mundir madrasah berkenaan.

Kehadiran Anwar hari ini memang dinanti-nantikan oleh kira-kira 1,000 hadirin dan para jemputan termasuk para ulama dari Asia Tenggara, sebaliknya kedatangan Abdullah secara tiba-tiba itu benar-benar mengejutkan dan di luar jangka.

Abdullah dijangka hadir ke madrasah berkenaan esok untuk merasmi persidangan dan pertemuan para ulama. Kehadiran Abdullah lewat tengah hari ini menjadi tanda tanya sebab pada waktu sama jemputan khasnya ialah Anwar Ibrahim.

Abdullah tiba lebih awal dari Anwar, iaitu jam 12:18 tengah hari manakala Anwar bersama isterinya, Wan Azizah Ismail tiba kira-kira 20 minit kemudian.

Kedua mereka dibawa naik ke rumah Syeikh Mahmud untuk makan tengah hari sama-sama.
Abdullah dan Anwar berada di dalam rumah berkenaan lebih 1 jam setengah. Mereka keluar dari rumah berkenaan untuk mendirikan solat Zohor bersama jam 1.40 petang.

Difahamkan semasa di dalam rumah Syeikh Mahmud, pertemuan enam biji mata berlangsung antara Abdullah, Anwar dan Syeikh Mahmud. Satu perundingan juga dikatakan berlaku dengan Syeikh Mahmud menjadi perantaranya!

Semasa mendirikan solat Zohor kedua mereka duduk di saf pertama di mana Abdullah berada di sebelah kanan, Syeikh Mahmud manakala Anwar berada di sebelah kiri Syeikh Mahmud.

Selepas solat Zohor, Abdullah diminta memberi ucapan ringkas begitu juga Anwar bagaimana pun Anwar tidak berucap. Dalam ucapannya Abdullah menjelaskan sesuatu yang baik itu kalau didoakan ia akan menjadi kenyataan. Selepas selesai solat Zohor dan ucapan ringkas kelihatan Abdullah dan Anwar bersalaman dan masing-masing melemparkan senyum.

Pertemuan dan gelagat kedua pemimpin itu benar-benar mengejutkan para hadirin dan jemaah. Masing-masing tertanya-tanya dengan peristiwa berkenaan kerana ianya dikatakan bukan dirancang oleh sesiapa tetapi mempamerkan keadaan yang sungguh menyenangkan orang ramai.

Orang ramai begitu bangga dan puas dengan pertemuan kedua mereka yang dlihat sebagai bermusuhan selama ini dan diharap dapat berdamai untuk kebaikan negara, bangsa dan agama.

“Apa yang berlaku hari ini adalah sejarah, dan kita harap ianya jadi!” begitulah komen salah seorang ahli jawatankuasa madrasah berkenaan enggan menjawab apakah kedatangan kedua mereka sudah dirancang dan apakah yang dimaksudkan 'jadi' itu?

Abdullah meninggalkan madrasah berkenaan kira-kira jam 2.15 minit petang manakala Anwar jam 2.50 petang kedua-duanya dijangka menuju ke Parlimen untuk mendengar pembentangan bajet mini oleh Najib.

Ulasan dan analisa lanjut mengenai peristiwa ini akan menyusul selepas ini.

ANALISA ISU

POSTING saya sekejap tadi mengenai pertemuan yang memungkin terselit mini perundingan antara Anwar Ibrahim dengan Abdullah Ahmad Badawi dinafikan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam blognya. Anwar sendiri juga membuat penjelasan segera berhubung berita bersifat spekulatif tetapi berfakta itu juga menerusi blognya.

Kata Iskandar, Anwar dan Abdullah hanya bertemu dan makan tengah yang dinamakan makan untuk keamanan dunia? Tidak ada perundingan selepas itu.

Manakala menurut Anwar pula pertemuan itu biasa yang menyempatkan dia ngobrol perkara-perkara biasa sahaja dengan Abdullah. Apakah perkara biasa itu?

Shamsul menampilkan gambar menunjukkan Anwar sedang santap bersama Abdullah dengan Sheikh Mahmud Majzub sedang makan ditengah. Jelas lauk pauk yang dihidang untuk dua negawaran itu makan berbeza dengan apa yang dihidang di luar untuk para tetamu lain.

Sepanjang peristiwa itu Sheikh Mahmud senantiasa berada di tengah manakala Anwar dan Abdullah di sisi.

Dalam konteks dan suasana hari ini tidak salah kalaupun Anwar mengadakan rundingan dengan Abdullah. Dan jika berlaku mini rundingan itu mestilah berhubung dengan pelan peralihan kuasa yang bakal berlaku dalam Umno selepas Mac nanti.

Anwar berhak menyatakan apa-apa pandangannya kepada Abdullah sebagai sahabat dan atas kapasitinya sebagai ketua pembangkang pada pertemuan seperti itu.

Sebagai ketua pembangkang Anwar tentu mempunyai maklumat-maklumat yang bermanfaat untuk diketahui dan dikongsi oleh Abdullah sebagai perdana menteri untuk kebaikan bangsa dan negara.

Setidak-tidaknya Anwar menasihati Abdullah agar jangan begitu mudah menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Mohd Najib Razak. Sekiranya Anwar meluahkan itu atau membuat rayuan begitu ia juga bukan perkara baru, kerana dalam parlimen Anwar pernah menyatakan kesediaan untuk menyokong Abdullah terhadap apa-apa tindakan dan keputusannya yang memerlukan suara ahli parlimen.

Bahkan Anwar sempat bangun dan meminta rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat ikut bangun menunjukkan menyatakan sokongan kepada Abdullah. Mesej yang ditunjukkan oleh ketua pembangkang itu jelas bagi Abdullah.

Kalaupun Anwar membuat rayuan itu dalam mini perundingan ia berpandukan kepada perkembangan terkini di sekitar Najib. Dan adalah wajar kalau Abdullah mendengar apa yang mungkin disuarakan oleh Anwar pada pertemuan tadi, baik ketika di meja makan ataupun di dalam bilik.

Shamsul Iskandar mendedahkan bahawa pertemuan Anwar dengan Abdullah itu sekadar di mejakan makan sahaja. Itulah yang hendak ditegaskan oleh Shamsul.

Apakah selepas makan itu sementara menunggu solat Zohor mereka tidak berganjak ke dalam bilik berdekatan meja makan itu? Dan apakah Iskandar juga turut sama menyelit ke dalam bilik berkenaan dan mendengar kesemua butir bicara mereka? Dan apakah keperluannya dari segi politik untuk Shamsul menafikannya?

Saya difahamkan sendiri oleh seorang ahli MPT PKR yang turut hadir, (berkedudukan seperti Shamsul di dalam rumah itu) menurutnya ada berlaku pertemuan enam biji mata antara mereka bertiga; Anwar, Abdullah dan Sheikh Mahmud. Pastilah Shekh Mahmud berada ditengah.

Menurut ahli MPT itu Sheikh Mahmud ada mengatakan sesuatu yang penting untuk kedua pemimpin itu. Tidak terniat untuk saya mencatatkan antara dialog Sheikh Mahmud dalam bilik itu seperti mana dituturkan oleh ahli MPT berkenaan, tetapi cukuplah kalau dikatakan ia sangat menarik. Iya sangat menarik.

Pasti esok wartawan akan memburu Abdullah untuk mendapat ulasan daripadanya. Sama-samalah pula kita dengar apa yang dikatakan Abdullah dan sama-sama kita padan dengan apa yang diucapkan oleh Anwar dan Shamsul itu.

Takdirnya sama, maka terimalah persamaan itu.

Mengenai Shamsul Iskandar, sekiranya kedatangan Abdullah itu tidak ada mengada mengapa beliau bersusah berlari anak untuk menyambut Abdullah sebaik mengetahui ketibaan Abdullah. Apakah sambutan itu sebagai mnghormati pemimpin nombor satu negara?

Ataupun sambutan itu kerana menghormati kedatangan delagasi pertama untuk bertemu dan berunding secara tidak langsung?

Ketika ditanya apakah yang dibicarakan (ngobrol) oleh Anwar dan Abdullah semasa mereka makan, Shamsul hanya berkata no comment? Apakah no comment itu beliau mendengar sesuatu atau tidak mendengar apa-apa? Atau tidak mahu menjelaskan apa yang diketahui kerana sebab-sebab tertentu?

Logiknya untuk apa Abdullah beriya hadir pada waktu itu sedangkan majlis untuknya diaturkan besok. Hari ini yang menjadi tetamu utama ialah Anwar Ibrahim. Kehadiran Anwar itu dicatatkan dalam kad jemputan kehormatan yang saya terima. Selain nama Anwar, kad jemputan itu mencatat nama Drs H Muhammad Yusuf Kala, Naib Presiden Indonesia.

Nama lain dalam kad jemputan itu ialah, Dr Bohkin Bhalakula, timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Thailand.

Ingatlah kepada bidalan lama yang masih relevan sekiranya tidak ada mengada tempua tidak akan bersarang rendah. Pastinya kehadiran Abdullah dan Anwar ke madrasah Nurul Iman itu ada rahmat dan yang pastinya mereka dihantar oleh Allah untuk bertemu, bertentangan mata dan berjabat salam.

Apa yang dapat disaksikan dan dirasakan ia sungguh memberi erti besar. Tidak mustahil dalam menghuraikan erti dan hikmah pertemuan Abdullah – Anwar tengah hari tadi ia menyebabkan selesama Najib semasa membentang minit bajet di parlimen tadi semakin melarat dan mungkin akan membawa kepada demam dan panas kepala pula. / Foto oleh shamsuliskandar.wordpress.com

* Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com - Pengarang
http://www.klpos.com/news/2009/03/11/1.html
Read More ..

Tuesday, March 3, 2009

Asal-usul Dasar Penswastaan

Hentikan rompakan kroni, tolak penswastaan
Hishamuddin Rais | Jan 28, 09 3:49pm

Penswastaan ialah satu dasar ekonomi yang dianjur oleh kaum pemodal kapitalis pada tahun 1980-an dahulu. Ia adalah dasar ekonomi yang mula-mula dianjurkan oleh Ronald Reagan dan Margaret Thatcher. Ia merupakan dasar ekonomi kapitalis fahaman kanan yang ekstrem.

Sebelum dasar penswastaan diperkenalkan, banyak negara dalam dunia ini masih memiliki harta-harta dan syarikat-syarikat milik awam. Banyak syarikat yang berjaya ini dimiliki dan dikendalikan oleh kerajaan. Syarikat awam ertinya syarikat yang dimiliki oleh orang ramai.

Kaum pemodal meleleh air liur apabila melihat syarikat-syarikat air, elektrik, pos, telefon, penerbangan, sekolah, hospital dan seribu satu macam syarikat yang dimiliki oleh rakyat. Kaum pemodal tidak dapat menahan nafsu duitan mereka untuk merompak syarikat-syarikat ini.

Syarikat-syarikat milik kerajaan bermula dengan cita-cita untuk memberi khidmat kepada orang ramai. Syarikat-syarikat ini diusahakan bukan atas dasar mencari untung maksimum.

Dalam masa yang sama syarikat-syarikat ini juga berjalan dengan pengendalian yang baik dan profesional. Untung bukan slogan syarikat-syarikat ini. Rugi juga bukan moto syarikat ini.

Khidmat untuk orang ramai ialah syahadah untuk semua syarikat milik kerajaan. Syarikat-syarikat ini berimankan "khidmat terbaik untuk kesejahteraan ramai". Syarikat milik orang ramai didirikan untuk memberi khidmat kepada semua mereka.

Tiba-tiba Dr Mahathir Mohamad melancarkan skim cepat kaya pada tahun 1980-an. Syarikat-syarikat Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, MAS, bekalan air, khidmat pos, hospital, Taman Negara dan jalan raya – semua ini contoh syarikat dan harta orang yang diagih-agihkan olehnya kepada kaum kerabat dan kroninya.

Inilah skim cepat kaya Mahathir yang dijadikan dasar gerombolan United Malays National Organisation. Pada tahun-tahun itu, ketika Mahathir masih di takhta, kita ada mendengar berita Mamat Basikal Buruk jadi taukeh gedung-gedung perniagaan.

Kita mendengar Mat Drebar Lori jadi pemilik empangan terbesar. Kita mendengar Mat Sekolah Tak Tamat menjadi tuan punya syarikat penerbangan. Kita mendengar cerita Mat Tak Pandai Cakap Inggeris menjadi pemilik loji air.

Semua harta dan syarikat yang dimiliki orang ramai telah diambil alih untuk dijadikan milik peribadi. Semuanya dirompak untuk diagihkan kepada kroni.

Cara rompakan ini cukup senang: Para kroni mengajukan cadangan-cadangan dengan kertas kerja kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Bunyinya cukup lunak tetapi hakikatnya amat berlainan. Badan perancangan ini juga dirasuah untuk meluluskan rompakan ini. Para birokrat di badan perancangan ini juga mendapat habuan untuk meluluskan rompakan ini. Mereka bersubahat untuk sama-sama merompak.

Hasilnya di zaman Mahathir banyak lanun dan perompak menjadi kaya-raya.

Bayangkan puluhan puluh tahun syarikat dan harta ini cuba dibangunkan sedikit demi sedikit. Syarikat MAS - dari dua buah kapal terbang yang disewa akhirnya menjadi sistem penerbangan antarabangsa.

Bayangkan dari hanya beberapa buah peti pos akhirnya perkhidmatan pos berjaya memberikan khidmat ke seluruh negara.

Cuba fikirkan bagaimana hutan diteroka, jalan raya dan landasan keretapi dibuat.

Berapa bilion ringgit pelaburan telah dicurahkan oleh kerajaan? Berapa banyak masa, tenaga dan berapa banyak nyawa rakyat telah digunakan untuk mendirikan syarikat-syarikat ini?

Dalam sekelip mata sahaja semua harta ini dirompak oleh Mahathir. Harta-harta milik kita semua ini dengan begitu senang diagih-agihkan kepada kaum keluarga dan kroni.

Dasar rompak harta orang ramai inilah yang dipanggil dasar penswastaan. Dasar ini juga dikaitkan dengan apa yang dipanggil dasar globalisasi. Dasar ini membolehkan syarikat-syarikat gergasi antarabangsa datang sama menjarah dan merompak harta negara kita.

Apakah kita lupa syarikat Air Kelantan pada satu masa dahulu sebahagian besarnya adalah milik Thames Water dari United Kingdom?

Tidakkah kita berasa takut apabila air yang kita minum ini tuan empunyanya ialah orang luar? Tidakkah kita berasa gerun apabila hospital kita adalah milik Singapura, Britain atau Amerika Syarikat?

Tidakkah kita terganggu apabila syarikat telefon kita kini dimiliki oleh Jepun, Korea Selatan dan Australia?

Dasar penswastaan telah berjalan lebih 20 tahun. Porak-peranda hasil pelaksanaan dasar ini sedang kita lihat. Sekolah dan universiti bukan lagi gudang ilmu untuk mendidik warga bangsa tetapi menjadi gedung "menipu" untuk membuat duit.

Hospital yang dulunya milik kita bersama kini apabila kita jatuh sakit kita pula kena bayar. Kita diberi ubat yang "tidak bermutu" tetapi jika hendakkan ubat yang bermutu – sila bayar.

Jika tidak ada duit, maka jawabnya kita dapat rawatan lekeh atau tidak ada rawatan langsung.

Lihat pula berapa banyak jalan raya sedang dihalang dengan tol. Air dan api dinaikan tarifnya saban tahun. Telefon terus melonjak sewanya. Untung, untung dan untung dijadikan akidah syarikat-syarikat swasta ini.

Dahulu - ketika semua syarikat ini dimiliki oleh orang ramai – jika dapat untung, keuntungan ini akan dimasukkan ke dalam dana negara. Apabila syarikat ini diswastakan, apabila ada untung, maka untung ini masuk ke dalam poket tuan pemilik saham syarikat ini.

Inilah bezanya antara syarikat milik kerajaan dengan syarikat yang diswastakan.

Minggu lalu Najib Razak telah cuba melakukan tindakan seumpamanya. Najib sedang membuka jaringan kroni-kroni baru. Sime Darby kroni pertama Najib. Jika diselidik dan dihalusi, maka pasti akan kita ketemui bahawa Najib dan kaum kerabatnya mungkin ada memiliki kepentingan.

Sime Darby ingin merompak Institut Jantung Negara melalui penswastaan. Ia telah dipersetujui oleh Najib. Dia sendiri membuat kenyataan - dia tidak akan menghalang niat Sime Darby.

Lihat dengan licik Najib telah "membocorkan" berita rancangan ini sesudah Parlimen ditutup untuk bercuti satu bulan. Najib tidak mahu projek penswastaan (baca: rompakan) IJN ini dibincangkan di Parlimen. Pasti perancangan ini telah lama berjalan secara senyap-senyap.

Pasti ada rundingan yang telah dibuat. Kenapa projek penswastaan ini tidak diberitahu secara telus kepada wakil rakyat di Parlimen? Kenapa dengan tiba-tiba Najib bersetuju? Mana dia dasar ketelusan yang selalu diuar-uarkan oleh gerombolan United Malays National Organisation?

Semua perjanjian penswastaan dibuat dalam gelap. Hingga ke hari ini kita – orang ramai – masih belum dapat membaca perjanjian antara kerajaan dengan syarikat pemegang konsesi lebuh raya. Perjanjian syarikat ini telah dibuat dengan kerajaan.

Ertinya perjanjian ini dibuat dengan kita semua. Kerajaan itu ialah orang ramai. Orang ramai ialah kita semua kerana kita yang melantik kerajaan. Kalau kita melantik kerajaan, kenapa kita tidak boleh mengetahui apa yang dijanjikan?

Justeru, dasar penswastaan ini wajib dihentikan. Dasar ini membawa mudarat kepada orang ramai. Tugas kerajaan bukan untuk mengayakan kroni dan kaum kerabat.

Tugas kerajaan yang berjiwa rakyat ialah mendahulukan kepentingan ramai daripada kepentingan kroni dan anak bini. Tugas utama kerajaan ialah untuk memastikan rakyat terbanyak hidup selesa dengan pembahagian dan agihan ekonomi yang adil.

Rakyat wajib berwaspada dengan dasar penswastaan. Orang ramai perlu membuka mata dan berjaga-jaga kerana perompak-perompak harta orang ramai ini masih berkeliaran.

Selagi mereka berkuasa, rompakan harta rakyat akan berterusan. Untuk ini kita tidak ada pilihan – hentikan dasar ini dan mereka ini kita nyahkan daripada tampuk kuasa.
http://www.malaysiakini.com/columns/97520
Read More ..